LOS ANGELES, 27 JULAI – Bekas pemain Los Angeles Lakers, Slava Medvedenko baru-baru ini melelong dua bentuk cincin kejuaraan NBA miliknya bagi mengumpul wang dana untuk negaranya, Ukraine.
Medvedenko merupakan pemain penyerang dalam pasukan kejuaraan Lakers pada 2001 dan 2002 dan berpeluang bermain bersama Kobe Bryant dan Shaquille O’Neal.
SCP Auctions mendermakan keseluruhan harga jualan akhir kedua-dua bentuk cincin miliknya kepada Yayasan Fly High Medvedenko. Matlamatnya adalah untuk menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak Ukraine dengan memulihkan infrastruktur sukan sekolah negara yang dilanda perang serta melancarkan rangkaian kelab sukan sosial.
“Kami mahu membina semula gimnasium kerana tentera Rusia telah mengebom lebih daripada 100 buah sekolah,” katanya kepada The Associated Press secara dalam talian kelmarin.
“Negara kami memerlukan wang yang banyak untuk membaiki bangunan sekolah. Gim sukan pula akan diperbaiki kemudian.
“Di Ukraine, kami berdepan dengan musim sejuk dan kanak-kanak perlu bermain di kawasan dalam bangunan,” tambahnya.
Lelongan tersebut berlangsung mulai hari ini hingga 5 Ogos.
Sementara itu, Syarikat Laguna Niguel, California menganggarkan nilai bagi kedua-dua bentuk cincin itu akan mengumpul sekurang-kurangnya AS$100 ribu.
Medvedenko berkata, dia memutuskan untuk menjual cincinnya selepas pergi ke bumbung salah sebuah bangunan tertinggi di kawasan kejiranan Kyivnya dan melihat roket yang dilancarkan oleh tentera Rusia melintasi langit malam.
“Saat itu saya terus terfikir, ‘Mengapa saya memerlukan cincin ini jika ia hanya duduk di dalam peti besi saya?’ kata Medvedenko. “Saya sedar saya juga boleh mati pada bila-bila masa. Selepas itu, saya membuat keputusan untuk menjual cincin tersebut bagi membantu kesejahteraan orang ramai dan rakyat Ukraine agar hidup mereka bertambah baik,” tambahnya.
Medvedenko bercakap dari Warsaw, Poland, di mana dia mengadakan permainan bola keranjang amal bagi mengumpul wang untuk pelarian Ukraine yang menyeberangi sempadan bagi melarikan diri daripada perang. – AP