PALMA, SEPANYOL, 24 JUN – Pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev tewas di tangan Roberto Bautista Agut dalam perlawanan suku akhir di Terbuka Mallorca kelmarin, sementara pemain pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas berjaya mara ke perlawanan separuh akhir.
Medvedev ditewaskan dengan keputusan 6-3, 6-2 kepada Bautista Agut, yang berjaya membalas dendam selepas kalah kepada Medvedev dalam perlawanan suku akhir di Halle pada minggu lalu.
“Saya terpaksa bermain bersungguh-sungguh untuk menewaskan Daniil. Dia adalah pemain nombor satu, juara terakhir di Mallorca. Dia baru sahaja menewaskan saya beberapa hari lalu. ia adalah perlawanan yang sengit,” kata Bautista Agut.
Bautista Agut berjaya menewaskan Medvedev dalam dua set perlawanan sekali gus merangkul kemenangan keempatnya dalam lima perlawanan menentang juara Terbuka AS tersebut.
Kekalahan tersebut menandakan berakhirnya perjalanan Medvedev beraksi di gelanggang rumput. Dia adalah salah seorang daripada pemain yang dilarang menyertai Wimbledon berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.

Dalam perlawanan separuh akhir nanti, Bautista Agut bakal berdepan dengan pemain ranking ke-303 dari Switzerland, Antoine Bellier, pemain yang berjaya menewaskan Tallon Griekspoor dengan keputusan 5-7, 7-6 (7/5), 6-2.
Bellier adalah pemain ranking tercorot yang berjaya mara ke separuh akhir sejak Juan Manuel Cerundolo, yang berada di ranking ke-335 dunia, memenangi kejohanan di Cordoba pada tahun lalu.
Sementara itu, Tsitsipas memerlukan tiga set perlawanan untuk menewaskan Marcos Giron dari Amerika Syarikat (AS).
Pemain dari Greece tersebut berjaya menyelamatkan dua breakpoint untuk memulakan set terakhir dan kemudian menewaskan Giron dalam perlawanan kelapan sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 7-6 (7/5), 4-6, 6-3.
Tsitsipas, tewas pada pusingan pertama dalam empat penampilannya di Wimbledon, akan menentang Benjamin Bonzi dari Perancis untuk merebut gelaran juara dalam perlawanan akhir. – AFP