LOS CABOS, MEXICO, 4 OGOS – Pemain nombor satu dunia Daniil Medvedev, beraksi dalam perlawanan pertamanya dalam enam minggu, menewaskan pemain kelayakan Australia Rinky Hijikara 6-4, 6-3 semalam dalam kejohanan gelanggang keras ATP di Los Cabos, Mexico.
Ia merupakan kemenangan bersejarah perlawanan ke-250 dalam karier juara bertahan Terbuka AS itu.
“Seseorang memberitahu saya beberapa hari lalu,” kata Medvedev selepas perlawanan. “Jika tidak, saya tidak akan mengetahuinya. Ia sungguh manis, satu peristiwa penting dalam karier saya.
“Saya mahu lebih banyak kemenangan, tetapi rasa teruja kerana sudah miliki 250. Kami akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi.”
Medvedev akan bermain dalam kejohanan pertamanya sejak disingkirkan daripada suku akhir di Mallorca pada 23 Jun. Dia terlepas Wimbledon disebabkan pengharaman pemain Rusia dan Belarus berikutan serangan Rusia ke atas Ukraine. Medvedev mengutip mata penamat perlawanan untuk memenangi set pembukaan.
Dia menyelamatkan mata penamat pertama yang dihadapinya dalam perlawanan pembukaan set kedua, dan memperoleh pematah seri yang diperlukannya untuk mata pendahuluan 4-2 ke atas Hijikara. Pemain Australia nombor 224 dunia itu mempamerkan aksi bersemangat, mematahkan beberapa siri mata penamat sebelum Medvedev mengakhiri perlawanan selepas 90 minit.
“Ia pastinya bukan senang untuk bermain selepas awda berhenti untuk seketika, terutamanya bermain dalam kejohanan pertama saya di gelanggang keras untuk masa yang lama, sejak Miami,” ujar Medvedev. Medvedev bakal bertemu Ricardas Berankis dari Lithuania, yang menewaskan pemain Argentina Facunda Bagnis 7-6 (7/4), 6-3.– AFP