Medvedev mara ke pusingan 16 terakhir

INDIAN WELLS, 12 OKT – Juara Terbuka AS, Daniil Medvedev ‘memberikan tekanan’ untuk meraih kemenangan ke-50 pada musim ini di Kejohanan ATP dan WTA Indian Wells, mengalahkan Filip Krajinovic 6-2, 7-6 (7/1) dalam pusingan ketiga, semalam.

Pemain kelahiran Rusia berusia 25 tahun itu mempamerkan aksi dynamik semasa mata penentuan set kedua untuk mengalahkan pemain Serbia dan menambah rekod perlawanan kepada 50-10 musim ini.

“Perlawanan yang sangat sukar,” Medvedev memberitahu AFP. “Saya sangat bertuah pada set pertama. Set kedua, saya memulakan perlawanan dengan baik, namun dia mula meningkatkan tahap permainan.

“Saya gembira kerana dapat berjuang untuk meraih mata dan mendapatkan mata penentuan. Saya beraksi dengan cukup baik dalam mata penentuan dan memberikan tekanan.”

Pemain ranking nombor dua dunia, Medvedev mara ke pusingan 16 terakhir di mana dia bakal bertemu dengan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov, yang berjaya mengalahkan lawannya dari Amerika Syarikat, Reilly Opelka 6-3, 6-4.

Aksi Daniil Medvedev membuat pukulan servis ketika pertemuan menentang Filip Krajinovic di Kejohanan ATP dan WTA Indian Wells. – AFP

Medvedev yang menduduki ranking kedua dunia sejak awal tahun ini berkata matlamatnya ialah untuk menghuni ranking nombor satu, satu hari nanti, yang kini dipegang oleh Novak Djokovic. Medvedev berjaya menundukkannya di final Terbuka AS.

“Sejak berusia enam tahun saya mengimpikan untuk menjadi pemain nombor satu,” kata Medvedev. “Tetapi dia (Djokovic) adalah pemain nombor satu sebenar tahun ini. Dia memenangi tiga gelaran Grand Slam. Itulah hakikatnya.

“Ranking nombor satu adalah matlamat saya. Saya hanya perlu memenangi perlawanan dan Grand Slam.”

Perlawanan ditunda selama sejam sebelum Medvedev memulakan per-lawanan akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda Palm Springs, California.

Cuaca buruk berlaku pada pertengahan malam ketika perlawanan pertama antara Coco Gauff dan Paula Badosa.

Aksi disambung semula dengan bantuan sukarelawan untuk mengeringkan gelanggang di Tenis Garden. – AFP