Medvedev mara ke suku akhir

NEW YORK, 6 SEPT – Pemain pilihan kedua dari Rusia, Daniil Medvedev mara ke suku akhir Terbuka AS selepas menewaskan pemain pilihan ke-24 dari Britain, Daniel Evans 6-3, 6-4, 6-3 semalam.

Medvedev mara ke suku akhir buat kali keempat dalam lima penampilan di Grand Slam dan kali ketiga berturut-turut di Terbuka AS dalam usahanya untuk merangkul gelaran pertama Slam.

Medvedev tewas di final Terbuka Australia kepada Novak Djokovic tahun ini dan tewas di final Terbuka AS 2019 kepada Rafael Nadal tidak pernah tercicir satu set sepanjang empat perlawanan di Terbuka AS.

“Sekarang ini saya hanya mahu untuk ke final supaya ada perkara lain yang dapat diingat dan kali ini berharap ia lebih baik,” kata Medvedev.

Medvedev seterusnya akan berdepan pemain di ranking ke-117, Botic Van de Zandschulp yang menyingkirkan pemain pilihan ke-11 dari Argentina Diego Schwartzman 6-3, 6-4, 5-7, 5-7, 6-1 dalam perlawanan yang berlangsung selama empat jam 20 minit.

Aksi Daniil Medvedev dari Rusia semasa perlawanan menentang Daniel Evans dari United Kingdom di pusingan keempat kejohanan tenis Terbuka AS, semalam di New York. – AP

“Saya tidak mempunyai sebarang kata-kata untuk itu,” kata Van de Zandschulp. “Bermain terlalu banyak perlawanan. Sebahagiannya saya berada di ambang kekalahan tetapi saya berjaya bangkit untuk menang.”

Dia juga mempamerkan persembahan terbaik berbanding mana-mana pemain kelayakan Terbuka AS yang mara ke suku akhir seperti pemain Perancis, Nicolas Escude pada tahun 1999 dan Gilles Muller dari Luxembourg pada tahun 2008.

“Pertama kali bagi saya di Amerika dan rasanya sangat menyenangkan,” kata Van de Zandschulp, yang tertanya-tanya bagaimana reaksi orang di tanah airnya terhadap kemaraannya.

“Tidak ada yang menyangka saya mara ke suku akhir,” katanya. “Saya rasa mereka kagum dan saya harap mereka bangga.”

Kesalahan berganda Evans membantu Medvedev mendahului perlawanan 3-1 dan pemain Rusia itu bertahan tiga kali untuk memenangi set pertama.

Medvedev mempamerkan aksi terbaik untuk memulakan set kedua. Evans cuba mengatasi kedudukan tetapi Medvedev kembali bangkit dan bertahan.

Van de Zandschulp membuat penampilan pertama di Terbuka AS, cuba memburu Grand Slam pertamanya selepas berjaya menyingkirkan Schwartzman.

Van de Zandschulp menjadi pemain Belanda pertama mara ke suku akhir Slam sejak 2004 di Wimbledon dan di Terbuka AS sejak 2003. – AFP