Medvedev musnahkan impian Djokovic

NEW YORK, 13 SEPT – Daniil Medvedev memusnahkan impian Novak Djokovic memenangi Grand Slam dengan kejayaan straight set pada final Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.

Kemenangan itu menafikan pemain nombor satu dunia itu daripada memecahkan rekod 21 kemenangan kejuaraan perseorangan lelaki.

Pemain nombor dua dunia dari Rusia itu mendominasi Djokovic menerusi kemenangan 6-4, 6-4, 6-4 menyebabkan Djokovic terpaksa bertahan dengan rekod sama dicatat oleh Roger Federer dan Rafael Nadal dalam karier di Slam.

“Minta maaf buat penyokong dan Novak kerana kita semua tahu apa yang mahu dilakukannya,” kata Medvedev.

“Apa yang anda sudah capai dalam karier… bagi saya andalah pemain tenis terhebat dalam sejarah.”

Daniil Medvedev mencium trofi selepas memenangi perlawanan final lelaki kejohanan tenis Terbuka AS 2021 menentang Novak Djokovic di Pusat Tenis Nasional USTA Billie Jean King di New York pada 12 September. – AFP

Medvedev, naib juara Terbuka AS 2019 meraih kemenangan Grand Slam pertama dalam tiga aksi final dan ia juga pertarungan ulangan Terbuka Australia final yang dimenangi pemain berusia 34 tahun dari Serbia itu pada Februari lalu.

“Tahniah buat Daniil. Perlawanan yang hebat,” kata Djokovic. “Jika ada sesiapa yang layak meraih gelaran Grand Slam ketika ini, ia adalah kamu.”

Usaha Djokovic untuk menyapu bersih gelaran kejohanan Terbuka AS, Perancis, Australia dan Wimbledon pada tahun yang sama sejak dilakukan Rod Laver 52 tahun lalu, tidak kesampaian pada halangan terakhir.

Legenda berusia 83 tahun dari Australia, Laver adalah antara 23,700 penonton yang menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Arthur Ashe itu.

“Sungguh menakjubkan Daniil Medvedev, anda menewaskan salah seorang pemain terhebat malam ini,” tulis Laver di Twitter.

“Untuk memenangi gelaran Grand Slam pertama anda adalah amat istimewa, untuk melakukannya ke atas seorang juara seperti Novak Djokovic adalah menakjubkan. Jangan putus asa Novak, teruskan usaha. Selamat maju jaya.” – AFP