Meerqeen tersenarai 10 artis undian tertinggi

Pelakon yang kini bergelar penyanyi, Meerqeen, 20, menyifatkan kejayaannya membolosi senarai 10 artis meraih undian tertinggi pada pusingan awal, sekali gus layak ke peringkat Top 5 bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 menandakan kehadirannya dalam industri hiburan direstui.

Selama setahun mencari tapak dan membina nama, Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam sudah boleh menarik nafas lega apabila segala usaha dan penat lelahnya terbayar dengan kepercayaan yang diberikan peminatnya.

“Sejujurnya, saya terkejut apabila ada peminat memaklumkan nama saya menembusi senarai Top 5 ABPBH. Lebih mengejutkan, saya juga dalam senarai 10 artis meraih undian tertinggi pada pusingan awal.

“Sebagai pendatang baharu, ABPBH adalah acara anugerah pertama yang menyenaraikan nama saya. Alhamdulillah, nama saya sangkut sebagai finalis.

“Pencalonan ini menunjukkan yang kehadiran saya dalam industri kreatif mendapat perhatian.

ABPBH adalah acara anugerah pertama yang menyenaraikan nama Meerqeen selepas setahun bertapak dalam industri seni. – Agensi

“Secara tidak langsung, segala usaha gigih dan pengorbanan yang dilakukan selama setahun dalam membina nama berbaloi dengan pencalonan sebagai finalis ini,” katanya.

Terharu pengiktirafan diberikan, penyanyi yang baru muncul dengan single berjudul Menunggu ini berjanji memberikan yang terbaik dalam setiap hasil kerjanya.

“Apabila tersenarai sebagai finalis, perkara pertama yang terbit dalam fikiran adalah tanggungjawab cukup besar menanti saya.

“Kualiti adalah balasan yang diberikan kepada peminat yang mengundi saya. Saya memilih bidang seni bukan untuk suka-suka.

“Jika boleh, saya tidak mahu mengecewakan peminat dengan hasil kerja yang asal boleh. Kepada peminat yang bertungkus-lumus mengundi saya pagi dan malam, sampai ada syif lagi, terima kasih diucapkan.

“Menang atau kalah, ia bukanlah satu keutamaan buat saya,” katanya. – Agensi