Meerqeen yakin pada rezeki

Tiada impian paling manis bagi pendatang baharu, Meerqeen, 20, apabila menceburi bidang seni, kecuali berjaya merangkul anugerah dan memenangi hati peminat sebagai mengiktiraf kehadiran dalam persada seni tanah air.

Itulah penghargaan berharga buat seseorang yang bergelar bintang. Namun, berjaya membolosi tiga kategori menerusi pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 sudah cukup membuatnya rasa dihargai, apatah lagi, usia pembabitan baru setahun jagung.

Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam berjaya membolosi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular menerusi filem Kelaster bersama Nora Danish menerusi ABPBH 34.

Menyifatkan ia sebagai pencapaian besar, pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Angkara Cinta, tahun lalu bersyukur menerima tiga pencalonan pada saat dirinya baru bertapak dalam dunia seni.

“Jujurnya, saya bersyukur kepada Allah kerana berjaya membolosi tiga kategori.

Meerqeen berjaya membolosi tiga kategori menerusi pencalonan awal ABPBH Ke-34 sudah cukup membuatnya rasa dihargai. – Agensi

“Bukan mudah membolosi lebih daripada satu kategori, memandangkan saingan sengit daripada pelakon hebat lain. lain. Saya percaya ini adalah rezeki terpijak yang mengiringi perjalanan awal kerjaya lakonan.

“Ia sekali gus membuktikan kepercayaan orang luar terhadap bakat Meerqeen,” katanya kepada media.

Justeru, tiga pencalonan ini secara tidak langsung memangkin semangat untuk berusaha lebih gigih pada masa akan datang. Soal kemenangan, finalis pertandingan Hero Remaja pada 2019/2020 itu berkata, dia tidak terlalu memikirkannya dan menyerahkan pada rezeki yang dikurniakan Allah.

Apatah lagi, katanya, dia bersaing dengan 19 calon lain yang bukan calang-calang, dicalonkan peringkat 20 teratas pun sudah cukup menggembirakannya.

“Menang atau kalah, bergantung kepada rezeki. Jika ada rezeki saya, mungkin trofi ini dalam genggaman.

“Tetapi, saya selalu ingatkan diri bersaing dengan pendatang baharu yang tidak kurang hebat. Jadi, kita tunggu sahajalah keputusannya nanti.

“Bohonglah, jika tidak mahu menang. Saya sendiri jika boleh mahu menang sekurang-kurangnya satu kategori. Tetapi, segala-galanya berbalik soal rezeki.

“Sebagai pendatang baharu, saya perlu berusaha sebaik mungkin untuk menempatkan diri dalam kelompok popular dan terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, anak saudara kepada penyanyi popular era 1990an, Safura Yaacob itu berkata, dia menerima maklum balas dan sokongan sangat positif dari peminat.

Disebabkan itu, pelajar jurusan insurans di Kolej Vokasional Gombak itu berkata, dia menanam tekad bekerja keras bagi menghargai kepercayaan penyokongnya. – Agensi