Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Megah berkibar bendera negara

    Oleh Salawati Haji Yahya, Nurdiyanah R. & Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Demi mengukuhkan semangat patriotik dan menyahut tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’, pelbagai pihak telah mengadakan upacara menaikkan bendera negara bagi menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-38 yang diadakan pada 23 Februari nanti.

    Antara yang mengadakan upacara menaikkan bendera itu ialah Zon 2 Mukim Serasa dan Mukim Mentiri yang diadakan di kawasan Dewan kemasyarakatan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, Mukim Mentiri 2, kelmarin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Pemangku Ketua Kampung Panchor Mengkubau, Awang Mohammad Helmy bin Haji Ahmad. Turut hadir pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku pemangku penghulu Mukim Serasa dan ketua kampung Masjid Lama, Sabun dan Pelompong.

    Semasa upacara itu, rombongan pembawa bendera terdiri daripada ketua-ketua kampung dan pemangku-pemangku ketua kampung Zon 2 Mukim Serasa dan Mukim Mentiri kemudiannya menyerahkan bendera tersebut kepada Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed.

    Sementara itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B turut mengadakan majlis serupa di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, hari ini, yang dihadiri oleh tetamu kehormat, Penasihat Majlis Perundingan Mukim Sengkurong, Dato Paduka Haji Kassim bin Haji Johan.

    Upacara menaikkan bendera Zon 2 Mukim Serasa dan Mukim Mentiri yang diadakan di kawasan Dewan Kemasyarakatan RPN Kampung Mentiri.
    Upacara menaikkan bendera di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong. – Gambar serahan MPK Sengkurong B
    Rektor UNISSA semasa upacara menaikkan bendera.– Gambar serahan UNISSA
    Mukim Berakas A dan Mukim Berakas B juga mengadakan majlis sama di kawasan lapang Dewan Kemasyarakatan 1, RPN Lambak Kanan, Berakas.
    Sejumlah 1,350 bendera kecil meja telah diagihkan secara serentak di beberapa buah institusi pengajian tinggi, pusat tingkatan enam dan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama termasuk sekolah swasta.
    Pemangku Pengarah PB bersama warga PB semasa sesi bergambar ramai selepas menyempurnakan upacara menaikkan bendera. – Gambar serahan PB

    Majlis turut menyaksikan barisan 10 buah motosikal berkuasa tinggi dari Jerudong Bikers diikuti dengan 28 buah kenderaan daripada penggemar kereta Mercedez Benz, Toyota Alphard dan Toyota Vellfire dari Mukim Sengkurong dan Zon 5 mendahului memasuki perkarangan dewan.

    Upacara menaikkan bendera dilakukan oleh ahli-ahli MPK Sengkurong B itu, diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Sejurus selesai majlis upacara menaikkan bendera negara, Doa Selamat dibacakan oleh imam Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, Haji Manan bin Haji Osman.

    Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar turut mengadakan majlis seumpamanya di Kawasan Letak Kereta Zon ‘A’, UNISSA, kelmarin. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir sama ialah Pemangku Timbalan Rektor, Dr Arman bin Haji Asmad, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai dan kakitangan UNISSA.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan perbarisan lalu terdiri daripada pasukan beruniform UNISSA iaitu kadet tentera, pasukan kadet polis, pasukan kadet bomba, persatuan Pengakap Kelana 1102 dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

    Sebelum upacara menaikkan bendera, rektor UNISSA diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan pasukan beruniform UNISSA dan seterusnya menyerahkan bendera kebangsaan kepada kadet polis, Dayang Norazatul Amal Nadhirah @ Norhafrina binti Norariffin selaku ketua pasukan perbarisan. Upacara kemudian diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh warga UNISSA dan diakhiri dengan bacaan doa yang dikepalai oleh 91383 Soldadu kadet tentera, Awang Muhd Aiman Syafiq bin Ajari.

    Antara tujuan upacara itu diadakan adalah untuk menanamkan semangat patriotik kepada kalangan warga UNISSA agar dapat menjiwai perasaan kesedaran bernegara dalam memikul tanggungjawab untuk memajukan Negara Brunei Darussalam melalui peranan pendidikan.

    Sementara itu, Politeknik Brunei (PB) juga tidak ketinggalan mengadakan majlis sama yang berlangsung di hadapan Bangunan Kampus Utama PB di Jalan Ong Sum Ping.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon yang sekali gus menyempurnakan acara itu dengan menyerahkan bendera negara kepada Kadet Tentera PB, 93465 LKPL KT Dayangku Nurul Diyaanah Izzati binti Pengiran Suhaini, juga selaku salah seorang pelajar Level 5 Diploma in Web Development.

    Setelah itu, upacara menaikkan bendera negara diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ menghiasi suasana acara. Upacara tersebut seterusnya dimeriahkan lagi de-ngan nyanyian lagu patriotik, ‘Berkibarlah Bendera’ yang didendangkan oleh Kumpulan Koir PB sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.

    Manakala itu, Mukim Berakas A dan Mukim Berakas B juga mengadakan majlis sama di kawasan lapang Dewan Kemasyarakatan 1, RPN Lambak Kanan, Berakas, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 2 RPN Lambak Kanan, Haji Ma’aruf bin Haji Morni dengan dialukan-alukan oleh Haji Ibrahim bin Haji Abdul Rahman selaku penyelaras acara dan juga pemangku ketua kampung Kawasan 1 RPN Lambak Kanan Berakas.

    Turut hadir ialah ketua-ketua kampung dan pemangku-pemangku ketua kampung Zon 1 Daerah Brunei Muara Mukim Berakas A dan Mukim Berakas B; serta ahli-ahli jawatankuasa MPK Kawasan 1 RPN Lambak Kanan Mukim Berakas B.

    Dalam pada itu juga, sejumlah 1,350 bendera kecil meja telah diagihkan secara serentak kepada para mahasiswa dan mahasiswi serta penuntut di beberapa buah institusi pengajian tinggi, pusat tingkatan enam dan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama termasuk sekolah swasta seluruh negara.

    Tahun ini, bendera kecil meja diberikan kepada pelajar Universiti Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan penuntut Pusat Tingkatan Enam Tutong, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, PB Kampus Lumut, Sekolah St. James, Kuala Belait dan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Bangar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...