Meghan Markle keguguran anak kedua

NEW YORK, 25 NOV – Duchess of Sussex, Meghan Markle men-dedahkan beliau mengalami keguguran anak keduanya Julai lalu. Berita sedih itu dikongsikan beliau menerusi artikel yang diterbitkan di New York Times.

Dalam artikelnya, Markle menulis beliau baru sahaja menukar lampin anak lelakinya apabila beliau terasa sakit kekejangan perut dan rebah.

“Saya tahu, saat saya menggenggam anak pertama, bahawa saya sebenarnya kehilangan anak kedua.

“Kehilangan seorang anak bermaksud ia mengundang kesedihan yang hampir sukar digambarkan, malah ia diharungi ramai orang tetapi hanya segelintir yang mampu bercerita mengenainya.

“Dalam meniti kepedihan berikutan kehilangan cahaya mata kami, saya dan suami menyedari hakikat bahawa daripada 100 wanita, 10 hingga 20 wanita akan mengalami keguguran.

“Oleh itu, isu keguguran kekal menjadi ‘larangan’ atau dibayangi dengan rasa malu, selain menyebabkan wanita menjauhkan diri mereka daripada masyarakat,” katanya.

Markle dan Putera Harry mengambil keputusan untuk meninggalkan tugas rasmi sebagai keluarga kerabat diraja British pada awal tahun ini dan berpindah ke California bersama anak lelaki mereka, Archie, yang berusia setahun. – AFP

Gambar fail pada 9 Mac 2020 menunjukkan Putera Harry dan Meghan tiba untuk menghadiri Commonwealth Service di Westminster Abbey di London. – AFP