Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    MEITD, SSDC adakan lawatan rasmi ke SEAMEO VOCTECH

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Bagi membincangkan kolaborasi berhubung dengan kepakaran dan peruntukan latihan TVET, delegasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (SSDC) mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH (SV) kelmarin.

    Menurut kenyataan Pusat Serantau SV, di sini, delegasi berkenaan telah diketuai oleh Setiausaha Tetap MEITD, Haji Azmi bin Haji Bujang.

    Turut menyertai delegasi itu ialah Penolong Setiausaha Utama, Bahagian Pembangunan Bakat, Hajah Khanninah binti Haji Ariff, Pengarah Eksekutif SSDC, Hallman bin Sabri serta ahli-ahli delegasi dari pusat berkenaan.

    Hadir untuk mengalu-alukan Haji Azmi serta delegasi berkenaan ialah Pengarah Pusat Serantau SV, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, timbalan pengarah, pengurus, konsultan dan pegawai-pegawai pusat berkenaan.

    SV merupakan salah sebuah pusat yang telah diperuntukkan untuk dilawat oleh MEITD dan SSDC semasa di Negara Brunei Darussalam bagi membincangkan potensi kolaborasi dalam kepakaran dan peruntukan latihan TVET masing-masing serta juga dalam berkongsi amalan terbaik untuk pembangunan bersama.

    Pengiran Sufri (kiri), Awang Alias (dua kiri), Haji Azmi (dua kanan) dan Hallman (kanan) semasa lawatan rasmi delegasi MEITD dan SSDC ke Pusat Serantau SV, kelmarin. – Gambar serahan Pusat Serantau SV

    Semasa lawatan itu, Haji Azmi, Awang Alias dan Hallman bersama-sama pengurusan pusat dan delegasi berpeluang untuk berkenalan antara satu sama lain dan berkongsi maklumat berhubung aktiviti dan program TVET dari pusat-pusat berkenaan.

    Dari SV, Awang Alias menerangkan beberapa pencapaian dan merakamkan keinginan pusat itu untuk bergerak ke hadapan dalam era pendigitalan dengan memanfaatkan teknologi AR dan VR serta teknologi hijau.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif (Perkhidmatan Korporat), Amy Francis Najur menyampaikan penerangan bagi pihak SSDC.

    Majlis diteruskan dengan sesi dialog di antara pusat-pusat berkenaan untuk membincangkan kolaborasi dalam melaksanakan sebuah kursus latihan berpotensi dan projek-projek penyelidikan.

    Haji Azmi dipetik menekankan mereka sentiasa berminat untuk melatih bukan sahaja golongan belia tetapi juga meningkatkan kemahiran sumber manusia mereka masa kini.

    “Tidak ada sebarang halangan bagi penyertaan dan pertukaran sumber manusia Sarawak dengan negara-negara lain, saya ingin bekerjasama dengan pusat ini dalam usaha-usaha pada masa hadapan.”

    Kemudian, wakil dari SSDC, Awang Zakri bin Mohd Salleh turut mempromosi mengenai Persidangan TVET BIMP-EAGA Ketiga yang membawa tema, TVET to Drive Innovation and Talent Development, yang akan diadakan di Kuching, Sarawak bermula 8 hingga 9 Mac.

    Persidangan merupakan platform yang ideal bagi delegasi dan pembentang TVET untuk berhubung, berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan bakat TVET serta meneroka peluang-peluang kolaborasi.

    Untuk membantu mempromosikan acara itu, SV telah menyiarkan maklumat mengenai persidangan berkenaan di laman sesawang, SEA-VET.net yang membolehkan SSDC untuk menjangkaui lebih ramai orang di Asia Tenggara.

    Majlis diakhiri dengan pertukaran cenderahati di antara SEAMEO VOCTECH, MEITD dan SSDC.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...