Meja bantuan BruHealth dapat sambutan

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Telefon bimbit atau peranti pintar yang tidak serasi, aplikasi tidak dapat dimuat turun serta maklumat pada kad pengenalan merupakan antara masalah yang sering menjadi tumpuan serta memerlukan bantuan daripada para sukarelawan yang bertugas di Meja Bantuan BruHealth.

Di samping itu juga, masalah maklumat pada surat beranak dan bantuan untuk menempahkan slot bagi solat Fardu Jumaat juga antara perkara yang memerlukan bantuan daripada para sukarelawan yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD) semasa mengendalikan Meja Bantuan BruHealth di Kompleks Membeli-Belah Rimba Point.

Perkara itu dijelaskan oleh ahli bertanggungjawab bagi Meja Bantuan BruHealth, Awang Mohd Syafi’ Iman bin Sofian dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di Meja Bantuan BruHealth, Kompleks Membeli-Belah Rimba Point, Rimba, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa meja bantuan yang disediakan oleh PBSM NBD dengan kerjasama Kementerian Kesihatan itu dihasratkan untuk membantu orang ramai dalam penggunaan aplikasi BruHealth dan ia terus mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana pada setiap jam kira-kira lebih 10 orang awam termasuk warga emas dan warga asing tampil untuk mendapatkan bantuan di meja bantuan berkenaan.

Beliau menerangkan bahawa para pengunjung ke meja bantuan itu bukan sahaja terdiri daripada mereka yang dari Daerah Brunei dan Muara tetapi juga dari daerah-daerah lain iaitu Daerah Belait, Tutong dan Temburong.

Para sukarelawan yang bertugas di Meja Bantuan BruHealth membantu orang ramai dalam penggunaan aplikasi BruHealth.

Menurut Awang Mohd Syafi’ Iman lagi, para pengunjung ke meja bantuan itu yang sebilangan besarnya warga emas dan warga asing, hadir untuk mendapatkan bantuan dalam memuat turun serta mendaftar kepada aplikasi berkenaan.

Mereka juga meminta bantuan dalam penggunaan aplikasi serta bagi mereka yang tidak dapat memuat turun aplikasi, bantuan untuk mendaftar serta mencetak kod QR mereka juga dilakukan oleh para sukarelawan.

Beliau menjelaskan bahawa para pengunjung ke meja bantuan berkenaan sebilangan besar meminta bantuan dalam mendaftar dan penggunaan aplikasi itu tetapi terdapat juga mereka yang meminta bantuan dalam melaksanakan rayuan bagi mereka yang menerima kod kuning serta juga tempahan bagi solat Fardu Jumaat.

Sementara itu, bagi pe- ngunjung warga asing pula, mereka meminta bantuan dalam pendaftaran kepada aplikasi BruHealth, jelas Awang Mohd Syafi’ Iman lagi.

Beliau menerangkan bahawa seramai 15 orang ahli sukarelawan ditugaskan mengendalikan meja bantuan secara bergilir-gilir di mana pada satu hari, enam hingga lapan orang akan bertugas mengendalikan meja bantuan yang dibukakan selama tiga hari iaitu Jumaat hingga Ahad di Kompleks Membeli-Belah Rimba Point dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa pada setiap Ahad, Meja Bantuan BruHealth juga dibukakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

“Pada masa ini, hari Sabtu menyaksikan jumlah pengunjung yang terbanyak ke meja bantuan tetapi ia mungkin akan bertambah lagi pada hari ini,” jelas Awang Mohd Syafi’ Iman lagi.

Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk terus berkunjung ke meja bantuan berkenaan jika mereka memerlukan bantuan dalam penggunaan aplikasi tersebut serta untuk mendapatkan nasihat dan penerangan bagi sebarang pertanyaan mengenai aplikasi BruHealth.