Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Meja konkrit moden teman bersantai

    Oleh Amri HTZ

    Waktu bersantai di rumah merupakan masa yang begitu penting untuk menghilangkan tekanan dalam kehidupan sehari-hari.

    Selain mempunyai ruangan khusus untuknya, keadaan tempat bersantai tersebut juga perlu dalam keadaan bersih, teratur dan cukup menenangkan.

    Ketika duduk di dalam ruangan tersebut, pada kebiasaannya seseorang akan ditemani dengan gajet atau TV. Namun tanpa kehadiran sebuah meja khusus, meletakkan barangan mahupun minuman atau makanan boleh mengganggu ‘ketenangan’ yang dicari.

    Persediaan awal perlu ada

    Bagi memastikannya ruangan bersantai serba mencukupi, projek kali ini akan membawa awda menelusuri langkah pembuatan sebuah meja kopi moden daripada konkrit dan kayu.

    Sebelum memulakan projek rekaan, sediakan lebih awal barangan seperti mesin pemotong kayu meja, mesin miter, mesin biscuit joiner, pita pengukur, pensel, mesin gerudi, alat pengepit kayu, pita perekat, papan lapis, kayu 2 inci x 4 inci, rod besi berdiameter 3 milimeter, dawai, simen, air, pasir, batu kerikil, baldi, gam silikon dan gam kayu.

    Langkah menempatkan besi pengukuh ke dalam campuran simen. – Agensi
    Bahagian hujung kayu kaki meja yang perlu dipotongkan dengan sudut 45 darjah. – Agensi
    Kaki meja yang telah dicantumkan dengan kayu sokongan pada bahagian tengah. – Agensi
    Mencantumkan kaki meja menggunakan gam kayu dan alat pengepit kayu. – Agensi
    Permukaan konkrit akan disapukan dengan wood finish pilihan bagi mendapatkan efek berkilat.

    Langkah-langkah penting

    Awal langkah pembuatan akan menumpukan kepada membuat acuan untuk campuran simen dimasukkan.

    Mula-mula potongkan papan lapis atau papan melamina dengan ketebalan 20 milimeter yang disediakan menggunakan mesin pemotong kayu circular.

    Potong dua batang kayu berukuran 40.64 sentimeter x 2 sentimeter, dua batang kayu 95.44 sentimeter x 2 sentimeter serta 95.44 sentimeter x 44.64 sentimeter sekeping.

    Setelah memotongkannya, cantumkan keseluruhan bahagian menggunakan skru. Mulakan proses mencantumkan kayu 95.44 sentimeter di atas permukaan papan 95.44 sentimeter x 44.64 sentimeter. Ini diikuti dengan kayu 40.64 sentimeter pada sisi kiri dan kanan acuan.

    Penggunaan papan jenis melamina di sini adalah bagi memudahkan simen ditanggalkan memandangkan ia mempunyai permukaan yang licin. Bagi awda yang menggunakan papan lapis biasa, bagi memastikan simen mengering tidak melekat pada permukaan kayu, sapukan permukaannya menggunakan minyak.

    Memandangkan permukaan meja konkrit yang akan direka mempunyai ukuran yang cukup besar, bagi memastikan ia tidak mudah pecah atau patah ketika mengendalikannya, pada bahagian dalamnya akan dimasukkan dengan besi atau jaringan dawai untuk memperkukuhkannya.

    Dalam langkah ini, rod besi yang tersedia akan dipotong sesuai dengan ukuran acuan yang kemudiannya diikat di antara satu dengan lain menggunakan dawai. Selain menggunakan rod besi, awda juga boleh menggunakan jaringan dawai halus.

    Selesai mereka acuan dan besi pengukuh konkrit, kini awda boleh memulakan langkah mencampurkan simen di dalam baldi bekas yang tersedia. Bagi memastikan simen mengeras dengan baik ketika mengering nanti, perbandingan dalam campuran adalah suatu perkara yang penting. Perbandingan satu bahagian simen, dua bahagian pasir dan empat bahagian batu akan digunakan pada projek ini.

    Batu yang digunakan tidaklah perlu berukuran besar, cukuplah yang kecil. Ini bagi memastikan ketika proses meratakan campuran simen ke dalam acuan mahupun ketika ia mengering, tidak terdapat batu-batu yang terlalu menonjol sekali gus mencacatkan rekaan.

    Setelah menuangkan campuran simen, kini awda boleh memasukkan besi pengukuh ke dalam acuan sehingga ia tenggelam. Pastikan ia berada pada bahagian tengah campuran simen, bukan di atas atau mencecah bahagian bawah acuan.

    Sementara menunggu campuran simen mengering lebih kurang 24 jam, awda boleh menggunakan masa terluang untuk mereka kaki meja. Potongkan kayu 2 inci x 4 inci dengan panjang 16 inci untuk lapan batang, dan panjang 28 inci sebatang yang akan dijadikan bahagian sokongan untuk menyambung kedua-dua kaki meja menggunakan mesin miter.

    Sebelum memulakan proses pemotongan, pastikan kayu yang digunakan mempunyai permukaan yang rata dan halus. Ini bagi memastikan tidak terdapat permukaan yang tajam yang boleh mendatangkan kecederaan ketika mengendalikannya mahupun ketika ia digunakan.

    Potongan untuk bahagian kaki meja, yang diperbuat daripada kayu 2 inci x 4 inci dengan panjang 16 inci perlulah mempunyai potongan dengan sudut 45 darjah. Teknik cantuman mitered butt akan digunakan pada langkah ini dengan bahagian cantuman boleh dimasukkan dengan dowel atau kayu biscuit.

    Sapukan keseluruhan permukaan cantuman dan isikan lubang dowel atau biscuit dengan gam kayu sebelum mengekalkan kedudukannya menggunakan alat pengepit kayu. Dua bahagian kaki kayu berbentuk empat segi menggunakan kayu yang sama adakan didapatkan pada langkah mencantumkan struktur kaki meja tersebut.

    Setelah gam mengering selama beberapa jam, kini kayu untuk menyambung kedua-dua kaki meja sekali gus sebagai bahagian sokongan untuk konkrit akan dicantumkan. Bahagian cantuman juga akan dimasukkan dengan dowel atau kayu biscuit bagi memastikan sambungan kukuh.

    Konkrit yang telah mengering kemudiannya akan dilepaskan daripada acuan. Lepaskan skru yang diketatkan pada bahagian cantuman dan tukul perlahan kayu tersebut untuk melepaskannya daripada konkrit.

    Bagi permukaan yang tidak sempurna, ia akan digosok dengan kertas pasir berukuran 100 grit. Setelah menghaluskan permukaan, rendam konkrit dalam bekas atau menyiramkannya menggunakan air sebagai langkah untuk menguatkan lagi konkrit tersebut. Lakukan langkah yang sama (jika menggunakan teknik menyiramkan air) selama beberapa hari sebelum membiarkan konkrit mengering sepenuhnya. Bagi awda yang merendamkan konkrit, biarkan ia terendam lebih kurang dua hari.

    Konkrit yang telah mengering sepenuhnya akan disapukan dengan tung oil bagi mendapatkan permukaan yang berkilat dan sedikit mengelap. Sapukan beberapa lapisan tung oil untuk memastikan ia menyerap sepenuhnya sebelum mengelap lebihannya. Langkah yang sama akan dilakukan untuk kaki meja. Ini bagi menambah warna kepada kayu selain memberikan perlindungan yang sempurna.

    Sebagai langkah terakhir sebelum menempatkan permukaan utama (konkrit) di atas kaki meja, tempatkan alat pelindung lantai pada bahagian bawah dan atas struktur kaki meja tersebut. Ini bertujuan untuk melindungi lantai ruangan selain anti gelincir untuk permukaan utama meja.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...