Meja sudut hias ruangan rumah

Oleh Amri HTZ

Mungkin ramai yang berpendapat kayu terpakai atau permukaannya rosak disebabkan terdedah kepada cuaca sama sekali tidak boleh digunakan semula mahupun akan memberikan hasil akhir rekaan yang kurang sempurna.

Sesetengah pereka membuktikan bahawa perkara tersebut tidak benar di mana kayu terpakai atau permukaan yang tidak sempurna mampu menghasilkan rekaan yang cukup unik dan di luar jangkaan. Ini boleh dilihat pada rekaan terutama yang bertemakan industrial rustic yang amat menarik perhatian di mana kayu disatukan dengan besi sebagai seni.

Barangan yang perlu ada

Projek DIY yang bertemakan industrial rustic kali ini akan menghasilkan meja sudut yang cukup mudah untuk dilakukan. Sebelum memulakan proses rekaan, terlebih dahulu sediakan segala peralatan yang diperlukan seperti mesin pemotong kayu, mesin kimpal, mesin pemotong besi (angle grinder), pita pengukur, besi flat bar lebar 3”, rod besi berukuran ¼”, topeng dan sarung tangan kimpalan, mesin kertas pasir, kayu berukuran 7.5” x 17” x 3”, berus dawai dan center punch.

Rancang sebelum mula

Bagi langkah pertama pembuatan, kayu yang telah disediakan terlebih dahulu perlu dipotong dengan ukuran yang diperlukan iaitu 7.5” x 17” x 3” untuk dua batang. Gunakan mesin pemotong kayu bersesuaian untuk memotongkan kayu tersebut menjadi bahagian kecil seperti mesin pemotong kayu milter atau circular. Penggunaan mesin pemotong kayu jenis meja pula memerlukan kemahiran ketika menyorongkannya terutamanya untuk kayu bersaiz besar dan panjang.

Memandangkan kayu yang digunakan dalam projek ini merupakan kayu yang diguna semula bagi menyesuaikan tema rekaan, permukaan kayu yang rosak akibat terdedah kepada cuaca akan dibersihkan sebahagiannya menggunakan kertas pasir. Selain bertujuan untuk membersihkan permukaan kayu, ia juga membolehkan permukaan diratakan bagi memastikan barangan yang diletakkan di atasnya sentiasa stabil.

Gunakan mesin pemotong kayu yang bersesuaian terutamanya bagi material yang berukuran panjang dan besar.
Besi yang telah dipotongkan akan dikimpal yang akan dijadikan sebagai pendakap bahagian bawah meja.
Kaki meja daripada besi berukuran ¼” yang telah selesai dikimpal membentuk rekaan seperti kurungan (cage).
Penggunaan topeng kimpal amat penting bagi melindungi mata dan muka semasa mengimpal.
Kayu yang telah dipotongkan akan dicantum menjadi satu dengan permukaan kayu akan dibersihkan terlebih dahulu.

Setelah menggosokkannya menggunakan kertas pasir berukuran 80 grit, permukaan kayu tersebut juga akan diberus menggunakan berus dawai. Teknik sedemikian sedikit sebanyak dapat membersihkan permukaan kayu yang berlubang sekali gus mereka lubang-lubang kecil yang dapat memberikan hasil akhir yang lebih baik kepada rekaan. Namun perlu dipastikan teknik memberus permukaan kayu perlulah selari dengan ira-ira kayu dan bukannya berlawanan.

Bagi awda yang inginkan rekaan yang nampak moden dan bersih, pilihlah kayu yang baharu sebagai permukaan utama. Penggunaan kayu yang diguna semula juga boleh dilakukan namun pastikan permukaan kayu diketam bagi mendedahkan isi kayu yang lebih baik di dalamnya.

Langkah seterusnya ialah mereka pendakap untuk bahagian bawah kayu yang berfungsi sebagai pemegang agar kekal dalam kedudukan. Besi flat bar yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran 11” panjang dan 15” panjang, kedua-duanya untuk dua batang besi.

Besi yang telah dipotongkan kemudiannya akan dikimpal membentuk pendakap berukuran 15” x 17” di mana besi berukuran 17” sebelumnya akan dikimpal dengan besi 11” pada bahagian sisi dalam (atas dan bawah) untuk mendapatkan ukuran pendakap tersebut. Ketika proses mengimpal, tetapkan kekuatan voltan dan ampere bagi memastikan besi yang dikimpal melekat dan kukuh.

Sementara untuk rod besi berukuran ¼” akan dipotong dengan ukuran 15” untuk dua batang, 16.5” (dua batang) dan 20” (20 batang). Besi berukuran 15” dan 16.5” kemudiannya akan dikimpal yang membentuk segi empat sama dimensinya dengan pendakap yang telah direka sebelumnya. Pastikan kesemua bahagian yang dikimpal dalam kedudukan yang sama rata dan selaras kemudian paterikan 20 batang besi ¼” sebelumnya pada permukaan bawah pendakap. Ini diikuti dengan besi 15” dan 16.5” yang telah dikimpal sebelumnya pada bahagian hujung besi ¼” satu lagi.

Permukaan besi yang dikimpal setentunya akan menghasilkan flux dan ini perlu dibersihkan sama menggunakan berus dawai dan tukul. Dengan mengetuk permukaan kimpalan berulang kali, flux tebal yang terhasil daripada proses kimpalan akan tertanggal namun perlu diikuti dengan memberusnya menggunakan berus dawai bagi memastikan keseluruhan permukaan cukup bersih. Langkah ini hanya dilakukan bagi awda yang menggunakan mesin kimpalan jenis arc dan Metal Inert Gas (MIG).

Kaki meja sudut yang telah siap direka ini kemudiannya akan dicat dengan warna yang sesuai mengikut tema rekaan. Bagi memastikan cat yang digunakan melekat pada permukaan besi, gosok keseluruhan permukaan menggunakan kertas pasir berukuran 120 grit. Langkah menggosok permukaan besi tersebut akan menghasilkan permukaan kasar dan ini akan membuatkan cat yang di sembur atau disapukan lebih kukuh dan bertahan lama. Selain itu, penggunaan cat jenis primer juga disarankan pada permukaan besi tanpa cat yang berfungsi sebagai perekat tambahan bagi cat yang disapukan kemudian.

Manakala untuk permukaan utama meja, awda bolehlah menggunakan wood oil untuk mengekalkan rupa permukaan asal kayu. Namun bagi awda yang suka memilih warna yang berbeza, bolehlah menyapukannya dengan sekurang-kurangnya dua lapisan dengan memberikan masa untuk setiap lapisan mengering sebelum lapisan yang seterusnya.

Bagi mengekalkan kaki meja pada permukaan utama meja, tebuk permukaan pendakap pada kaki meja menggunakan mata gerudi bersesuaian dengan skru yang digunakan. Ketika menebuknya, gunakan alat center punch bagi memastikan proses menebuk lebih mudah dan tepat yang berfungsi sebagai panduan untuk mata gerudi ditempatkan. Setelah mengetatkan skru pada bahagian bawah permukaan utama meja, kini awda hanya perlu menempatkan rekaan pada ruangan bersesuaian sebagai penghias, juga mempunyai pelbagai kegunaan.