Meja unik ceriakan lebaran

Oleh Amri HTZ

Walaupun kita sudah menyambut beberapa hari bulan Syawal, namun belum terlambat lagi untuk mempamerkan kreativiti anda dalam menghiasi rumah. Seperti yang kita ketahui tradisi lebaran masyarakat Islam akan dihiasi dengan amalan kunjung-mengunjungi sesama sanak saudara mahupun saudara seislam. Bagi menyambut kedatangan mereka, apa kata hiasi ruang tamu anda itu dengan menghasilkan meja unik rekaan sendiri.

Barangan yang diperlukan

Bagi mereka meja sempena menyambut Syawal ini, beberapa barangan dan peralatan penting yang diperlukan adalah papan berukuran ¾”, papan lapis, mesin gergaji, gam kayu, dowel, mesin kertas pasir, mesin jigsaw atau gergaji gelung, mesin router, wood oil, peralatan keselamatan seperti penutup mulut atau hidung, pita pengukur, pen penanda, pengepit kayu, pahat kayu dan berus cat.

Potong dan cantum papan tersedia

Pada langkah pertama pembuatan, anda perlu memotong papan yang telah disediakan dengan ketebalan ¾” tadi.

Papan dengan ketebalan ini merupakan ukuran yang biasa dan mudah untuk ditemukan. Mulakan dengan memotong papan tersebut dengan ukuran 3.5 kaki panjang sebanyak enam keping. Setiap dua kepingan akan dicantumkan menjadi satu bertujuan untuk menjadikannya dengan ketebalan yang diperlukan.

Ketebalan papan meja utama ini begitu memainkan peranan penting. Jika anda hanya menggunakan ¾” papan (ketebalan asal), risiko ia untuk melengkung ketika dicantumkan adalah tinggi. Bagi memastikan kejadian ini tidak berlaku, papan-papan tadi akan dicantumkan dengan dua kepingan menjadi satu sekali gus menjadikan enam kepingan papan tadi menjadi tiga.

Proses mencantumkan kaki meja menggunakan pengepit kayu.
Papan yang telah disediakan akan dipotong dengan ukuran yang diperlukan menggunakan pemotong kayu.

Teknik melakar sudut hujung meja dengan bentuk separa bulatan.

Setelah mendapatkan tiga keping papan tersebut, kini anda perlu mencantumkannya menjadi satu dengan menyapukan permukaan cantuman dengan gam kayu dan pengepit kayu. Biarkan gam mengering selama tiga ke lima jam tanpa memberikannya tekanan selama 24 jam. Apabila yakin gam telah mengering, bersihkan permukaan yang mempunyai lebihan gam menggunakan pahat atau pengikis yang tajam. Jika anda takut sambungan setiap papan tidak kukuh, berpunca daripada gam kayu yang tidak berkualiti, anda boleh mengukuhkan permukaan cantuman dengan memasangkan dowel dengan jarak tiga ke empat inci setiap satu. Tetapi jika gam kayu yang digunakan merupakan yang terbuat daripada bahan berkualiti, langkah ini tidaklah perlu dilakukan memandangkan ia merupakan langkah pilihan.

Dengan berlalunya masa 24 jam cantuman bebas daripada tekanan, permukaan papan tadi perlu diratakan menggunakan mesin kertas pasir. Gunakan kertas pasir dengan ukuran yang kasar (jika permukaan kayu tidak rata atau tidak diketam) kemudian ikuti dengan kertas pasir dengan ukuran yang lebih halus lebih kurang 400 ke 800 grit.

Bahagian hujung papan utama tadi akan dipotong dengan bentuk separa bulatan. Gunakan kompas berukuran besar untuk melakar bentuk tersebut. Selain itu terdapat cara lain untuk membentuk separa bulatan iaitu dengan menggunakan material plastik dan dilentur secara manual. Kedua-dua teknik ini mampu menghasilkan hasil akhir yang sama yang kemudiannya perlu dipotong menggunakan mesin gergaji gelung.

Langkah seterusnya merupakan langkah pilihan. Sudut papan utama bahagian atas yang memiliki bentuk 90 darjah akan dibulatkan menggunakan mesin router. Ini adalah bagi memberikan hasil akhir yang lebih profesional selain salah satu langkah keselamatan jika anda secara tidak sengaja tersandung bahagian permukaan tersebut sekali gus kurang mendatangkan kecederaan.

Beralih ke langkah seterusnya, untuk mereka kaki meja, di mana langkah ini memerlukan lebih perhatian dan kerja. Berlainan daripada bahagian utama meja tadi, yang menggunakan papan natural, langkah mereka kaki meja akan menggunakan papan lapis. Selain mempunyai harga yang lebih murah dibandingkan dengan papan natural, hasil akhir apabila ia dicantumkan menjadi beberapa lapisan akan memberikan ira kayu yang berlainan.

Papan lapis tersebut akan dipotong kecil menjadi ukuran 4.5″ lebar dan 36″ panjang. Di sini papan lapis berukuran 0.5″ akan digunakan di mana ia kemudiannya akan dicantumkan setiap keping menjadi satu bahagian kaki meja. Langkah ini memerlukan anda untuk mencantumkan sembilan keping papan lapis untuk setiap satu kaki meja. Sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu dan kepit menggunakan pengepit kayu. Setelah gam mengering, bahagian tengah atas kaki meja akan dipotong menggunakan gergaji kayu dengan meninggalkan 3″ setiap sudut hujung. Ruangan ini akan menempatkan papan utama bagi memberikan reka bentuk unik apabila dicantumkan dengan kaki meja. Untuk memastikan kaki meja cukup kukuh, pasangkan kayu sokongan pada bahagian tengah kaki meja atas menggunakan papan biasa.

Langkah terakhir adalah menyapukan permukaan kayu menggunakan wood oil.

Ini adalah bagi menimbulkan ira kayu yang terdapat pada permukaannya selain untuk melindungi permukaan kayu daripada cepat rosak dan kelembapan.

Dengan menempatkannya pada ruangan bilik tamu anda, ia setentunya akan menjadi tumpuan semasa para tetamu datang berkunjung.