Melaburlah di benua Afrika

BERLIN, 20 NOV – Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU) Moussa Faki Mahamat pada Selasa menggesa ekonomi terbesar dunia untuk melakukan lebih banyak pelaburan di benua Afrika, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Bercakap di persidangan Compact with Africa di Berlin, Mahamat menggariskan bahawa pembaharuan ekonomi dan politik baru-baru ini oleh negara-negara Afrika telah meningkatkan pelaburan asing, namun masih jauh di bawah anggaran.

“Kesemua pelaburan ini belum memenuhi jangkaan kami…. serta tidak meneroka sepenuhnya potensi yang boleh ditawarkan benua ini,” katanya.

Mahamat mencadangkan agar lebih banyak negara Afrika dimasukkan dalam inisiatif Compact with Afrika yang dipelopori Jerman.

“Kita bercakap mengenai 12 atau 15 negara di Afrika, itu tidak mencukupi.

“Kami perlu membesarkan kumpulan ini,” kata beliau. Canselor Jerman Angela Merkel telah mengesahkan sokongan Berlin terhadap usaha-usaha pembaharuan dan inisiatif bagi mempromosi pelaburan di negara-negara Afrika.

Beliau turut melahirkan kesediaan membuka Compact with Africa kepada negara-negara Afrika yang lain.  “Jika ada negara Afrika yang ingin menyertainya, dan sanggup berbuat demikian berdasarkan syarat-syarat yang telah kami tetapkan, kami akan membuka keahlian,” katanya.

Jerman memulakan program itu pada 2017 bagi mempromosi pembaharuan, pelaburan swasta dan pembangunan infrastruktur di negara-negara Afrika.

Benin, Ivory Coast, Mesir, Ethiopia, Ghana, Guinea, Maghribi, Rwanda, Senegal, Africa Selatan, Togo dan Tunisia telah menyertai inisiatif itu setakat ini. – Bernama