Melahirkan al-Insan as-Saleh

Oleh Syahmi Hassan & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Seramai 476 orang murid Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan telah menghadiri Program Keagamaan Senegara bagi bulan ini yang diadakan di sekolah berkenaan, hari ini.

Tema program keagamaan bulan ini iaitu ‘Persiapan Awal Tahun Persekolahan’ adalah bagi memberikan murid-murid kefahaman mengenai persiapan awal tahun persekolahan untuk sentiasa berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Hadir di majlis berkenaan ialah Guru Besar Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, Dayang Sarimah binti Ahmad serta guru-guru sekolah berkenaan.

Antara yang terkandung dalam program keagamaan berkenaan ialah ceramah agama, tazkirah, persembahan Tausyeh oleh kalangan murid-murid dan juga bacaan Doa Selamat.

Acara program dimulakan dengan Tazkirah Persiapan Awal Tahun Persekolahan oleh salah seorang tenaga pengajar, Awang Ermadini bin Jailani dan diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas oleh murid-murid.

Guru-guru Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan mengetuai bacaan doa.
Guru-guru Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan mengetuai bacaan doa.
Antara murid-murid Sekolah Persediaan Arab yang hadir ketika program keagamaan berkenaan berlangsung.
Antara murid-murid Sekolah Persediaan Arab yang hadir ketika program keagamaan berkenaan berlangsung.
Persembahan Tausyeh daripada murid-murid Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.
Persembahan Tausyeh daripada murid-murid Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

Acara diteruskan lagi dengan bacaan Doa Awal Tahun Persekolahan dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, acara sama turut diadakan di Sekolah Ugama Tanjong Maya yang melibatkan lebih 80 orang murid dari Darjah Pra hingga Darjah 6 sekolah berkenaan.

Turut menyertai program berkenaan ialah Guru Besar Sekolah Ugama Tanjong Maya, Dayang Azizah binti Haji Saat.

Murid-murid telah diterangkan supaya tidak leka dan lalai dengan membuat persediaan awal serta memberi fokus sepenuhnya kepada semua mata pelajaran.

Antara murid lelaki Sekolah Ugama Tanjong Maya yang mengikuti program tersebut.
Antara murid lelaki Sekolah Ugama Tanjong Maya yang mengikuti program tersebut.
 Murid-murid perempuan Sekolah Ugama Tanjong Maya sama-sama menjayakan program itu.
Murid-murid perempuan Sekolah Ugama Tanjong Maya sama-sama menjayakan program itu.

Di samping itu, mereka juga dinasihatkan agar menjadi bijaksana dalam membahagikan masa dalam belajar semasa di rumah dan membuat aktiviti sampingan.

Murid-murid merupakan generasi yang seharusnya peka dan berusaha merealisasikan hasrat negara iaitu melahirkan generasi berwawasan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

Tujuan program berkenaan diadakan adalah bagi merealisasikan rancangan strategik Jabatan Pengajian Islam iaitu meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolah Arab dan agama.

Selain itu, program berkenaan juga bertujuan bagi meningkatkan keberkesanan program kokurikulum di samping melahirkan akidah yang kukuh dan akhlak yang mulia melalui program pendidikan kokurikulum dengan melibatkan semua pelajar mengikuti program penghayatan beragama.

Program juga telah diadakan di semua sekolah Arab dan sekolah-sekolah agama sesi pagi dan petang di seluruh Negara.