Oleh Salawati Haji Yahya
DALAM usaha negara untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melahirkan lebih ramai penduduk berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mendukung matlamat itu. Antara usaha itu ialah daripada segi keagamaan, iaitu untuk melahirkan lebih banyak generasi celik Al-Quran.
Rakyat atau pelajar yang berpendidikan tinggi dalam hal ehwal keagamaan berpotensi tinggi dalam menguasai dan memahami isi kandungan Al-Quran dengan lebih baik.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa di Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan kali ke-55 tahun berkenan bertitah :
“Selain dari membaca, juga telah menjadi keutamaan ialah memahami isi kandungannya. Maka untuk itu Kerajaan Beta, melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengungkayahkan Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya (Edisi lengkap 30 Juzu’) yang telah dilancarkan pada tahun 2014, bagi tujuan, supaya orang-orang Islam di negara ini dapat menggunakannya sebagai rujukan bagi memahami isi kandungan Al-Quran.”
“Tema musabaqah membaca Al-Quran pada tahun ini ialah ‘Membina Generasi Al-Quran’. Apakah yang dimaksudkan dengan Membina Generasi Al-Quran itu? Maksudnya ialah melahirkan generasi celik Al-Quran yang serba-serbi celik”.



“Celik dalam makna pandai membaca, dan selepas pandai membaca, dikehendaki juga jika boleh, untuk menjadi pakar dalam semua bidang ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran. Inilah maksud Membina Generasi Al-Quran yang seideal-idealnya.”
Bagi mencapai hasrat tersebut sekali gus mendukung dan menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Program Satu Minggu Satu Juzuk telah dilaksanakan di mana pendidikan agama khususnya Al-Quran peringkat asas perlu dititikberatkan supaya ia kukuh, lancar dan mantap.
Dengan adanya program itu, ia akan dapat memantapkan lagi mutu bacaan Al-Quran pelajar di sekolah agama menerusi amalan secara bertalaqi dan sekali gus menyuntik serta mendidik mereka agar sentiasa mencintai dan mengamalkan pembacaan Al-Quran secara harian.
Di samping melahirkan pelajar yang dapat menguasai bacaan Al-Quran secara bertajwid dan lancar, aktiviti yang lain seperti aktiviti-aktiviti tahunan sekolah turut diadakan bagi mengeratkan lagi kerjasama dan perpaduan dalam kalangan tenaga pengajar, ibu bapa dan juga pelajar.
Kepentingan pembacaan Al-Quran ditekankan
Kepentingan bacaan Al-Quran bagi murid-murid di persekolahan ugama sebagai salah satu mekanisme ke arah melahirkan ‘Generasi Al-Quran’ di mana ini sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan ‘Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur’.
Ke arah itu juga, Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Sekolah Ugama telah mengendalikan Program Satu Minggu Satu Juzuk ini dengan menyasarkan kepada murid-murid di sekolah-sekolah ugama dengan bimbingan guru kelas atau guru Al-Quran.
Program tersebut bertujuan untuk memantapkan lagi pembacaan Al-Quran dan meningkatkan lagi jumlah bilangan murid-murid yang khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun, yang mana Program Satu Minggu Satu Juzuk ini mula dilancarkan pada 1 Februari 2016.
Bukan setakat itu, objektif program ini juga dihasratkan dapat memantapkan lagi pembacaan Al-Quran murid-murid sekolah ugama, selain mendidik murid-murid supaya sentiasa membaca Al-Quran sebagai amalan harian.
Program ini juga adalah supaya murid-murid sekolah ugama dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran mereka dan secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi jumlah murid-murid yang di bawah umur 10 tahun khatam Al-Quran.
Pelaksanaan program seperti ini akan menambahkan lagi nilai-nilai keunggulan diri dan keberanian serta kehebatan generasi celik Al-Quran, di samping menjadikan mereka dalam kalangan orang-orang beruntung di dunia dan akhirat.
Selain melahirkan generasi celik Al-Quran yang memahami dan mendalami isi kandungan Al-Quran, generasi yang serba tahu serta mempunyai kemahiran yang tinggi mengenai ilmu-ilmu Al-Quran dari semua sudut, sama ada dari sudut politik dan siasah, ekonomi dan perdagangan, pendidikan dan pembelajaran, sosial dan kebudayaan.