Oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Rakyat Brunei boleh melawat Timur Jauh Rusia tanpa visa, menurut Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev (gambar).
Satu senarai 18 buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam telah diluluskan, di mana warga negara-negara berkenaan boleh mendapatkan visa elektronik untuk sekali kemasukan bagi perniagaan, melancong atau tujuan kemanusiaan apabila memasuki Persekutuan Rusia melalui tempat-tempat pemeriksaan di Pelabuhan Bebas Vladivostok, Medvedev mengumumkan semalam.
Selain Negara Brunei Darussalam, negara-negara dalam senarai itu termasuklah Algeria, Bahrain, India, Qatar, Republik Rakyat China, Republik Rakyat Demokratik Korea, Kuwait, Maghribi, Mexico, Amiriah Arab Bersatu, Oman, Arab Saudi, Singapura, Tunisia, Turki dan Jepun.
Menurut Medvedev, langkah itu dijangka akan memudahkan perdagangan dan pelaburan ke kawasan itu dan meningkatkan hubungan dua hala.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan tarikan pelaburan rantau itu dan meluaskan hubungan perniagaan dengan memudahkan projek-projek yang melibatkan syarikat-syarikat asing dan menarik lebih ramai pelancong asing,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Langkah baru itu akan memudahkan prosedur visa bagi warganegara asing yang tiba di Persekutuan Rusia melalui tempat pemeriksaan sempadan di Pelabuhan Bebas Vladivostok.
“Rakyat negara-negara ini akan mendapat manfaat daripada prosedur yang lebih mudah apabila mendapatkan visa sehingga 30 hari dengan tempoh tinggal di Persekutuan Rusia tidak melebihi lapan hari. Visa-visa ini boleh digunakan sebagai e-dokumen,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Medvedev juga memberitahu agensi berita Rusia, TASS bahawa di bawah prosedur baru berkenaan, ahli-ahli perniagaan dan pelancong tidak perlu lagi menjalani prosedur biasa visa Rusia.
“Warga asing hanya perlu memasukkan data mereka di laman sesawang khas di Internet,” tambah Medvedev lagi.
Beliau berkata kerajaan secara proaktif membentuk infrastruktur moden dan mewujudkan rejim-rejim khas di Timur Jauh sambil menambah bahawa undang-undang ke atas lawatan ke pelabuhan bebas Vladivostok telah diluluskan Mac lalu.
“Pembatalan prosedur visa bagi pelancong dan ahli perniagaan akan menggalakkan pertumbuhan pelaburan dan tarikan pelancong ke Timur Jauh,” ujar beliau lagi.
Negara Brunei Darussalam dan Rusia telah memperingati 25 tahun hubungan diplomatik tahun lalu dan sejak itu telah menyaksikan hubungan meningkat dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan.
Dalam mesej sempena ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik tahun lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin menekankan kedua-dua negara telah mengumpul banyak pengalaman daripada kerjasama dua hala yang membuahkan hasil dan melahirkan keyakinan beliau bahawa berdasarkan hasil yang telah dicapai, hubungan Brunei dan Rusia akan terus kukuh dalam semua lapangan.
Ini, menurut beliau, memenuhi kepentingan rakyat kedua-dua negara dan sejajar dengan matlamat untuk memastikan kestabilan dan keselamatan di rantau Asia Pasifik.
Duta Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Vladlen Semivolos, pada Oktober lalu berkata, kedua-dua negara ini sedang merundingkan memorandum persefahaman antara Kementerian Pendidikan dan Sains Persekutuan Rusia dan Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam berhubung kerjasama dalam pendidikan tinggi dan sains serta perjanjian pengecualian visa antara kerajaan.
Beliau berkata, “Kami yakin dokumen-dokumen ini akan membuka era baru dalam pertukaran dua hala pelajar, akademik dan pelancong dan kami menantikan penandatanganan awal dokumen itu.”