WASHINGTON, 20 Jan – Melania Trump, memilih gaun rekaan pereka fesyen kurang terkenal berketurunan hispanik ketika menghadiri acara sempena pelantikan suaminya sebagai Presiden ke-45 Amerika Syarikat (AS).
Kot berwarna hitam paras lutut rekaan Norisol Ferrari itu digayakan ketika Melania melawat Perkuburan Kebangsaan Arlington, berbanding rekaan mewah Eropah yang sering menjadi pilihannya sebelum ini.
Beberapa pereka terkenal dilaporkan pernah menyatakan keengganan menghasilkan pakaian untuk bakal wanita pertama itu, berikutan kenyataan politik suaminya.
Ini menyebabkan pemilihan pakaian Melania bagi menghadiri beberapa majlis menjelang majlis angkat sumpah menjadi perhatian semua pihak.
“Saya harap kemarahan rakyat boleh diredakan. Saya membantah sebarang bentuk diskriminasi. Usaha memperkasa wanita adalah sesuatu yang penting bagi saya,” kata Ferrari, yang tidak bersetuju dengan tindakan pereka fesyen memboikot Trump.
Pereka kelahiran AS berketurunan Colombia dan Venezuela itu turut menyatakan rasa bangganya untuk mereka pakaian untuk Melania, yang akan menjadi wanita kedua bukan kelahiran AS, sebagai isteri presiden.
“Kunjungan Puan Trump ke Arlington amat bermakna bagi saya, kerana bapa kandung saya adalah veteran tentera yang cedera dalam peperangan. Ketidakupayaan yang dialami sepanjang hidupnya memberi kesan mendalam kepada keluarga saya,” katanya.
Bagaimanapun, Ferrari enggan mengulas siapa calon presiden yang diundi pada pilihan raya presiden tahun lalu. – AFP
































