Melayang $100 kerana puntung rokok

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seramai 17 orang dikenakan kompaun setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) kerana membuang puntung rokok di tempat awam di kawasan
sekitar Bandar Seri Begawan semasa Operasi Bersih 18/2020 pada 28 Oktober lalu.

Semasa operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) itu, seramai 15 orang warga tempatan, seorang penduduk tetap dan seorang warga asing dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran BSB, di sini, mereka dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran BSB dalam tempoh tujuh hari dan kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.

Manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Jabatan Bandaran BSB dalam kenyataannya turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.

Bagi sebarang aduan dan perkongsian maklumat bolehlah disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel [email protected]