Oleh Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja
BAGI menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa konsep Melayu Islam Beraja (MIB) adalah merupakan dasar atau polisi negara yang mesti diamalkan dan dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kerajaan.
Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei telah menganjurkan satu taklimat MIB dengan tujuan untuk memberi kefahaman lebih mendalam lagi mengenai konsep ini dalam kalangan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.
Perkara ini telah disampaikan oleh penulis dalam taklimatnya bertajuk Cabaran Dalam Mempertahankan Kedaulatan Negara Melayu Islam Beraja bagi Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2017 dan 2/2017 dari Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei. Taklimat telah berlangsung di Bilik Theater, Pusat Latihan Polis Gadong pada hari Sabtu 10 Ramadan 1439 Hijrah bersamaan 26 Mei 2018.
Kepentingan nilai-nilai MIB sebagai asas panduan dan rujukan dalam perlaksanaan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei memang tidak dapat dinafikan sebagaimana yang telah dititahkan oleh Baginda Sultan dalam Persidangan Khas Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet pada 7 Februari 2018, bertempat di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
Antara lain intipati titah Baginda Sultan menghendaki semua warga perkhidmatan awam termasuk menteri-menteri dan pegawai-pegawai yang diberi kuasa supaya melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab berlandaskan kepada nilai-nilai MIB supaya tidak tersasar dari sistem yang sudah lama diamalkan oleh negara ini.

Oleh itu, Baginda Sultan mengingatkan supaya perjalanan pentadbiran dan pengurusan negara ini berjalan lurus dan tidak lagi menyeleweng dari dasar yang telah disediakan iaitu dasar MIB. Kita tidak perlu lagi ragu-ragu dan mempertikaikan pengamalannya kerana ia memang sesuai dan sudah mendarah daging di bumi Brunei Darussalam.
Insya Allah, pengamalan dan perlaksanaan MIB dalam sistem berkerajaan ala Brunei ini akan dapat melahirkan sebuah negara ‘Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur’. Sebagaimana titah Baginda Sultan bahawa Brunei mesti tetap Brunei;
“Environmentnya yang cantik mesti dikekalkan. Environment Brunei ialah kebajikan. Kita tidak membiarkannya dicemari oleh apa jua bentuk keburukan termasuk-ketidakjujuran dan kepalsuan.
Brunei mesti bersih daripada semua gejala negatif.”
Ini bermakna bahawa nilai-nilai yang bercanggah dengan ajaran agama Islam, budaya Melayu dan amalan sistem beraja seperti tidak jujur dan tidak amanah adalah sikap yang bertentangan dengan MIB yang menyebabkan wujudnya amalan rasuah, pecah amanah, kronisme, nepotisme, tidak adil, mementingkan diri sendiri dan sebagainya.
Perkara ini juga telah disentuh oleh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titahnya sempena keberangkatan Baginda Sultan ke Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei pada hari Selasa 10 Jamadilakhir 1436 Hijrah bersamaan 31 Mac 2015 Masihi. Antara lain Baginda bertitah;
“Kerana itulah kerjaya polis, sememangnya wajar untuk dihargai dan dihormati. Bagaimana ia tidak patut dihargai, bukankah polis itu tunggak harapan bagi semua orang? Semua kita ini, tanpa ada kecualinya adalah bergantung harapan kepada polis. Polislah yang mengawal segalanya: mengawal bandar, mengawal desa dan malah mengawal negara berserta isi di dalamnya.Ini tidak diragukan lagi adalah, sebagai satu kelebihan atau keutamaan jawatan polis itu. Kelebihan atau keutamaan ini tidak dimiliki oleh lain-lain jawatan, melainkan hanya tertentu kepada jawatan polis sahaja. Kerana itu, penyandang-penyandang jawatan ini mustahaklah mengekalkan prestasi mereka, dan dalam masa yang sama, mesti pula mengamalkan sikap tegas dan amanah. Polis tidak boleh lemah. Sikap dan pendirian mereka mesti kuat, tidak boleh dirayu atau dipujuk-pujuk untuk mendapatkan simpati. Lebih-lebih lagi, penjawat polis, sama sekali tidak boleh curang terhadap tugasnya. Bilakah seorang polis itu boleh dianggap curang? Macam-macam sebab seorang polis boleh dianggap curang, seperti tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugas, dalam makna mengabaikan tugas, atau apabila seorang polis melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang, padahal polis adalah penguat kuasa undang-undang itu.”
Lantaran itu tugas serta tanggungjawab penjawat polis ini adalah satu amanah yang berat yang dipikul oleh setiap anggota Pasukan Polis Diraja Brunei sebagai lambang ketaatan dan kesetiaan pada raja atau pemimpin negara berdasarkan pengamalan nilai-nilai MIB.
Dengan kata lain, ketaatan kepada raja adalah tanggungjawab semua yang bernaung di bawah panji-panji Baginda Sultan sebagai tanda Senantiasa Membuat Kebajikan dengan Petunjuk Allah S.W.T.
Dalam adat istiadat diraja Brunei telah tercatat akan sumpah taat setia rakyat kepada raja sebagaimana yang pernah dilafazkan oleh Pemangku Menteri Besar Brunei dalam peristiwa bersejarah 5 Oktober 1967.
Bahkan juga dari segi ajaran agama Islam berdasarkan ayat Al-Quran dalam Surah Al-Nisaa, ayat 59 telah diperjelaskan akan kewajipan setiap individu untuk mentaati Allah S.W.T dan Rasul-Nya serta pemimpin negara iaitu Ulil-Ambri sebagaimana titah Baginda Sultan;
“Prespektif ‘wajib taat’ ini adalah, setiap rakyat, sesiapa pun jua adalah tidak boleh derhaka kepada raja.”
Menderhakai raja hukumnya haram dan berdosa besar. Maka tanggungjawab dan kewajipan setiap rakyat dan penduduk negara ini khususnya kakitangan dan pegawai-pegawai yang menjalankan jentera pentadbiran negara hendaklah menanai titah Baginda Sultan sebagai ketua negara dan ketua agama sebagaiman yang tercatat Perlembagaan Negeri Brunei 1959 pindaan 2004 dan 2008.
Perkara ini telah disentuh oleh penulis dalam taklimat yang merupakan julung-julung kalinya diadakan oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB dengan kerjasama Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei. Pada keseluruhannya taklimat yang disampaikan dalam perbincangan pada pagi tersebut adalah menyentuh dari segi persejarahan pengamalan MIB dalam sistem pentadbiran kerajaan di Brunei .
Ini termasuk sejarah Pasukan Polis Diraja Brunei yang cara rasminya telah ditubuhkan pada tahun 1920-an, yang bertanggunjawab untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara ini berdasarkan kepada perlaksanaan undang-undang yang disediakan.
Adalah tidak dinafikan akan sumbangan dan peranan penting yang telah dimainkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dalam sama-sama mempertahankan dan mengekalkan cara hidup MIB demi kesejahteraan kehidupan rakyat.
Oleh itu, sejarah perjuangan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam mempertahankan kedaulatan negara demi kecintaan dan ketaatan pada raja, agama dan bangsa patut diambil iktibar oleh generasi muda masa kini khususnya anggota pasukan keselamatan dinegara ini.
Berdasarkan rentetan sejarah Brunei masa lalu telah diperlihatkan akan keberanian dan keperwiraan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang ikut berjuang mempertahankan kedaulatan negara ini, misalnya dalam peristiwa berdarah Perang Dunia Kedua dan juga Pemberontakan 8 Disember 1962.
Kita sama-sama mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dalam peristiwa tersebut akan dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempat bersama orang yang beriman dan beramal soleh.
Memandangkan MIB adalah merupakan cara hidup bangsa Brunei, maka adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memahami, mengetahui, mengamal serta menghayatinya untuk menanani titah-titah Baginda Sultan dari sejak 1984 sehingga ke tahun 2018 yang mana jumlahnya tanpa kita sedari sudah melebih 50 titah.
Inilah tinta emas yang mesti kita junjung tinggi untuk mengujudkan keamanan, keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan rakyat negara ini melalui perlaksanaan dasar MIB dalam sistem pentadbiran kerajaan negara ini.
Sebagai renungan bersama dilampirkan sebahagian dari petikan titah Baginda Sultan terkini yang menyentuh mengenai konsep MIB yang telah disampaikan dalam Persidangan Khas Menteri-menteri Kabinet untuk teliti dan diamati oleh setiap pegawai-pegawai dan warga kakitangan kerajaan Negara Brunei Darussalam khususnya dan rakyat serta penduduk negara ini umumnya;
“Akhirnya, kepada semua termasuk pihak perhubungan, pelancongan, belia dan sukan serta luar negeri, luruskanlah tujuan masing-masing. Jangan bengkok-bengkok. Tidak ada gunanya memilih jalan lain dari jalan kita yang sedia ada. Jalan kita ini sudah cukup bagus, kalau ia diikut, Insya Allah kita selamat. Apakah jalan yang unik lagi hebat itu? Iaitu MIB, MIB. adalah pakaian Brunei.
“Kita memakainya sejak lebih dari enam ratus tahun lagi. Jadi mengapa di dalam zaman yang dinamakan zaman moden ini ia mahu dipertikaikan? Yakinlah barangsiapa yang mempertikaikan MIB, mereka itu bukan purih Brunei atau tidak berjiwa Brunei.
“Untuk menjadi pemimpin, keperluan untuk menguatkan amalan konsep MIB sangatlah mustahak. Jangan sekali-kali cuba menganut ideologi atau sistem lain dari ideologi dan sistem MIB.
“Kalau mahu jadi pemimpin yang baik, maka peganglah kuat-kuat prinsip ini dan juga jangan jadi pemimpin mabuk kuasa melakukan apa saja untuk kepentingan diri sendiri, lebih daripada kepentingan untuk negara.
“Di antara tanda-tanda pemimpin mabuk kuasa itu ialah licik mengatur rancangan atau strategi bagi kepentingan sendiri seperti mengamalkan kronisme dan nepotisme untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa.
“Beta yakin perbuatan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan keburukan belaka kepada negara dan tidaklah boleh dibiarkan terus berlaku.
“Maka demikian itulah juga perkara konsep dan dasar. Janganlah terus-terus terpesona mengikut orang lain tetapi lihatlah dahulu ke dalam diri siapa kita sambil mengenal pasti apa keperluan kita yang sebenarnya.
“Inilah cara yang lebih baik dan bijaksana untuk dilakukan bukan dengan mengambil dan memakai apa saja yang dilihat atau didengar daripada jauh tanpa perhitungan yang mendalam.
“Kita adalah bangsa dan negara merdeka. Kita dituntut untuk berfikir dan bertindak sebagai bangsa dan negara yang merdeka juga. Kemerdekaan akan kurang bererti dengan hanya membanggakan sahaja tetapi akan lebih bererti bila mana kita pandai mengisinya.
“Di manakah mengisi kemerdekaan itu dan oleh siapa? Tentu saja tidak lain oleh kita sendiri. Di sini ada menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha-setiausaha tetap, mereka inilah barisan paling hadapan yang diamanahkan untuk mengisi kemerdekaan supaya kemerdekaan kita itu benar-benar bermakna.”