Melayu Islam Beraja, asas kemerdekaan

Oleh Dr Muhammad Hadi Bin Muhammad Melayong, Pejabat Sekretariat, MajlisTertinggi MIB

SETIAP tahun rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Kebangsaan yang berlangsung buat pertama kalinya pada 23 Februari 1984. Pada tahun ini Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Kebangsaannya yang ke-35 tahun sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja sebagaimana yang telah dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 bahawa:

…mulai 1hb Januari 1984 tahun masehi bersamaan dengan 27hb Rabiulawal hijrah Nabi Muhammad s.a.w 1404, tahun yang ke-17 Beta diatas takhta kerajaan, Negara Brunei Darussalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia ALLAH SWT akan untuk selama-lamanya menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dengan berasaskan keadilan, dan amanah dan kebebasan dan dengan petunjuk serta Keredhaan ALLAH SWT jua akan senantiasa berusaha memperolehi ketenteraman dan keselamatan, kebajikan dan kebahagiaan bagi rakyat Beta…

Ini adalah rahmat dan nikmat yang dianugerah oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada rakyat dan penduduk negara ini sebagaimana titah Baginda Sultan semasa Perasmian Majlis Ilmu Sempena Hari Keputeraan Baginda ke-64 pada Hari Isnin, 14 Syaaban 1431/26 Julai 2010:

Sejarah Brunei Darussalam, sedia terisi dengan satu ‘nilai besar’, Melayu Islam Beraja (MIB).  Ia bukanlah pilihan tetapi anugerah.  Anugerah daripada Allah Subhanahu Wata’ala.  Selaku anugerah, nilainya tentulah lebih tinggi daripada apa yang dihasilkan oleh tangan sendiri.

Ia menuntut kepada tanggungjawab, dan tanggung-jawab itu pula bernama ‘amanah’.

Menteri Besar Brunei, Dato Setia Awang Marsal Maun bersama perwakilan Brunei di mesyuarat Gagasan Malaysia bulan Jun 1963 di Kuala Lumpur.

Siapakah yang bertanggungjawab itu?  Jawabnya ialah kita semua, selaku bangsa dan rakyat.  Kita jawat anugerah ini, dan berikutnya kita pelihara ia, kita pakai dan kita pupuk terus, sebagai kebanggaan dan warisan.

Oleh itu sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam berkewajipan menanai titah ini dengan mensyukuri nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala di bumi Brunei Darussalam ini. Ini memandangkan bahawa perjuangan untuk mengembalikan status Brunei sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat bukan satu tugas atau tanggungjawab yang mudah dan senang yang telah dipikul oleh generasi tua masa lalu.

Mereka adalah pejuang negara yang telah melalui liku-liku perjalanan yang mencabar dan penuh dengan rintangan sehingga mengorbankan wang ringgit, tenaga, masa dan nyawa untuk mengembalikan kedaulatan negara ini supaya dapat dimiliki dan dinikmati oleh bangsa Brunei masa kini dan masa akan datang.

Ketahuilah, bahawa di samping kegembiraan dan keceriaan dalam menyambut Hari Kemerdekaan yang ditunggu-tungu oleh setiap rakyat Brunei pada 1 Januari 1984 terdapat juga yang mengalirkan air mata mungkin menandakan kesyukuran ataupun kehibaaan mengenangkan perjuangan yang telah dilaluinya.

Ini harus difahami. Kita perlu mengetahui rintihan zaman silam itu supaya kita dapat menyelami akan pahit maungnya perjalanan mereka yang bermula sejak tamatnya Perang Dunia Kedua. Perjuangan ini telah memakan masa yang agak panjang berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara yang telah mendapatkan kemerdekaan mereka masing-masing sebaik saja tamatnya Perang Dunia Kedua.

Bagi Brunei tidak semudah itu, pemimpin-pemimpin kita (Sultan) serta rakyat terpaksa bergelut dengan isu-isu dalam dan luaran dalam perjuangan untuk mengembalikan ketuanan Brunei dari Kerajaan British yang telah bertapak di bumi Brunei sejak tahun 1888.

Di antara cabaran-cabaran yang dilalui sepanjang perjalanan menuju kemerdekaan yang memakan masa hampir lebih kurang 40 tahun selepas Perang Dunia Kedua termasuklah zaman pemulihan dalam era pemerintahan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin; pembentukan Perlembagaan Bertulis Negeri Brunei 1959 yang bermula pada tahun 1953 dalam pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien; Cadangan Gagasan Malaysia 1961; Pemberontakan bulan Disember 1962; Era Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1961-1966; Ketegangan hubungan politik dengan negara jiran pada tahun 1970an dan Perundingan isu kemerdekaan dengan Kerajaan British sejak awal tahun 1950an sehingga 1979.

Semua ini adalah cabaran dan rintangan yang pernah dihadapi oleh pemimpin negara ini untuk mendapatkan kembali status Brunei sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat bersandarkan konsep Melayu Islam Beraja.

Oleh itu, kita harus memelihara dan menjaga dengan baik kedaulatan negara ini yang merupakan ‘Mahkota Bangsa’ supaya kesilapan dan kesalahan yang telah berlaku di zaman silam tidak berulang kembali dalam lipatan sejarah Brunei sebagaimana yang telah titahkan oleh Baginda Sultan di Perhimpunan Agung PBB kali ke-39 pada 31 September 1984:

…Kami merupakan sebuah negara baru tetapi juga sebuah negara purba: salah sebuah negara yang tertua di Asia….

Kami telah mengalami kemegahan dan kegemilangan. Tetapi juga telah mengalami banyak kepedihan selama hampir tiga ratus tahun….

Wilayah dan negara kami diserang oleh kegiatan lanun yang bermaharajalela; beberapa peperangan. Keganasan dari mereka yang memanggil diri sebagai pengembara yang juga kami kenali sebagai para pengeksploit.

Pendik kata, negara kami bukan sahaja mengalami keamanan tetapi juga peperangan, kekayaan, tetapi juga kemiskinan; perniagaan yang meluas, tetapi juga pemencilan, perkembangan tetapi juga eksploitasi, berkerajaan sendiri, tetapi juga pengurusan asing…

Inilah hakikat sejarah yang patut kita ketahui dan hayati betul-betul supaya kita dapat memahami apakah makna kemerdekaan yang sebenarnya. Oleh itu, kita harus sedar, insaf dan mengambil iktibar dari sejarah zaman silam yang dilalui oleh bangsa Brunei sepertimana yang telah dititah oleh Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu. Ianya adalah satu kenyataan dan realiti yang pernah dilalui oleh bangsa Brunei untuk dijadikan pengajaran dan panduan dalam meneruskan perjalanan ke hadapan.

Jadikanlah peristiwa-peristiwa itu sebagai rujukan dalam mempertahankan kedaulatan negara ini yang bersandarkan Melayu Islam Beraja. Cabaran-cabaran ini adalah berterusan dalam era globalisasi masa kini walaupun dalam bentuk yang berbeza. Maka satu-satunya tembok pertahanan kita adalah dengan mengamal dan menghayati nilai-nilai Melayu Islam Beraja bagi mengukuh dan menguatkan lagi semangat kebangsaan serta kecintaan terhadap tanah air sendiri.

Lantaran itu, bertapa pentingnya pendidikan sejarah Islam negara ini diketahui dan dipelajari oleh setiap rakyat dan penduduk negara ini sebagai asas kesatuan dan perpaduan kebangsaan terutama generasi muda masa kini supaya mereka tidak hilang identiti dan jati diri keBruneian. Justeru, sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-35 tahun ini sebagai rakyat dan penduduk negara ini khususnya jenerasi muda hendak melibatkan diri dalam semua aktiviti dan juga program yang diadakan oleh semua pihak sepanjang sambutan perayaan tersebut sebagai tanda ketaatan pada raja, agama dan negara yang berpaksikan Melayu Islam Beraja. Penglibatan aktif setiap warga negara Brunei itu adalah bukti kewujudan semangat jatidiri dan patriotik yang kental terhadap negara, bangsa dan agama.

Sebagai contoh sekiranya kita mempunyai semangat kebangsaan dan jati diri yang kukuh maka setiap tahun apabila tiba masanya sambutan Hari Kebangsaan setentunya kita akan menaikkan bendera peribadi atau bendera negara tanpa perlu diarah atau dikempenkan. Sesungguhnya menaikkan bendera itu adalah simbol tanda kesyukuran dan doa pada Allah Subhanahu Wata’ala di atas kenikmatan yang telah dianugerahkan di samping tanda ketaatan pada raja, agama dan negara.

Lagipun dalam tempoh sepanjang 35 tahun merdeka Negara Brunei Darussalam telah menempuh berbagai kemajuan dan pembangunan di bidang pendidikan, kesihatan, perhubungan, pertanian, pertahanan, perundangan, keselamatan sosial dan sebagainya yang membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran hidup rakyat di negara ini.

Sistem Beraja yang menjadi landasan landskap politik di negara ini terbukti mengujudkan kestabilan dan kemantapan sosio-ekonomi yang kukuh yang berlandaskan kepada kepimpinan berkonsepkan Melayu Islam Beraja sebagaimana yang telah dititahkan oleh Baginda Sultan:

“Maka demikian itulah juga perkara konsep dan dasar. Janganlah terus-terus terpesona mengikut orang lain tetapi lihatlah dahulu ke dalam diri siapa kita sambil mengenal pasti apa keperluan kita yang sebenarnya.

“Inilah cara yang lebih baik dan bijaksana untuk dilakukan bukan dengan mengambil dan memakai apa saja yang dilihat atau didengar daripada jauh tanpa perhitungan yang mendalam.

“Kita adalah bangsa dan negara merdeka. Kita dituntut untuk berfikir dan bertindak sebagai bangsa dan negara yang merdeka juga. Kemerdekaan akan kurang bererti dengan hanya membanggakan sahaja tetapi akan lebih bererti bila mana kita pandai mengisinya.

“Dimanakah mengisi kemerdekaan itu dan oleh siapa? Tentu saja tidak lain oleh kita sendiri. Di sini ada menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha-setiausaha tetap, mereka inilah barisan paling hadapan yang diamanahkan untuk mengisi kemerdekaan supaya kemerdekaan kita itu benar-benar bermakna.”

Sebagai tanda kesyukuran dan perhargaan kepada perjuangan masa lalu supaya tekad dan usaha untuk memajukan negara dapat dipertingkatkan maka perlulah jua kita menyelami dan menghayati akan perjuangan ke arah kemerdekaan Brunei masa lalu itu. Iktibar boleh dirujuk misalnya dalam Syair Perlembagaan karya Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang dikenali nama Penyair Diraja, yang memberi gambaran penuh institusi pemerintahan beraja sebagai bahan politik dalam mengekalkan sistem dan warisan Melayu Islam Beraja. Hasil karya Baginda Al-Marhum ini kaya dengan nilai-nilai keBruneian yang tulen untuk tujuan pengajaran serta panduan hidup dunia dan akhirat. Inilah peninggalan atau buah tangan hasil karya Baginda Al-Marhum kepada orang-orang Brunei yang cinta dan kasih sayang kepada keluarga dan rakyatnya.

Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien adalah seorang nasionalis Diraja Brunei, strategi dan juga pendekatan yang telah digunakan sepanjang perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan Brunei dari tangan British iaitu dengan cara bermesyuarat dan berunding di meja persidangan. Perkara ini jelas diperkatakan oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Yahya bin Haji Ibrahim:

“Selepas Pengiran Shahbadar Mohd Salleh, muncul lagi seorang Penyair Diraja yang telah mula menulis syair di sekitar 1958 iaitu Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien atau menggunakan nama pena Muda Omar Ali Saifudien. Mungkin Baginda adalah raja terakhir yang telah selepas Raja Ali Haji. Muda Omar Ali Saifuddien telah menghasilkan 14 buah judul syair termasuk tiga buah dalam Rampaian Laila Syair.

Taktik ataupun strategi yang telah digunakan oleh Al-Marhum dalam berhadapan dengan pihak British sepanjang perundingan mengenai kemerdekaan adalah ibarat seperti ‘menarik rambut dari tepong, rambut tak putus tepong tak terburai’ iaitu penuh hati-hati tanpa merosak hubungan berbaik dan kerjasama yang sekian lama dengan Kerajaan British.

Perkara ini semua tercatat dan tergambar dalam penulisan Baginda Al-Marhum yang bertajuk Syair Perlembagaan yang merupakan gambaran liku-liku perjalanan yang dilalui oleh Brunei sejak tahun 1953 sehingga 1959 untuk mengembalikan ketuanan Melayu Islam Beraja yang menjadi acuan dan bentuk Brunei setelah mencapai kemerdekaan sejak tahun 1984.

Semoga cebisan catatan sejarah Brunei ini menjadi inspirasi kepada kita dalam mempertahankan dan membangunkan Brunei mengikut cara hidup orang-orang Brunei yang bersandarkan falsafah Melayu Islam Beraja.