Melayu Islam Beraja, Asas Ketuanan Brunei

Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong

Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

 

SEBAGAIMANA yang telah dimaklumi bahawa Melayu Islam Beraja (MIB) merupakan warisan dan khazanah Bangsa Melayu yang menjadi asas ketuanan Bangsa Brunei.

Kenyataannya, MIB telah diamalkan dan dihayati melebihi 600 tahun yang lalu sebagai cara hidup dan sumber perpaduan serta keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara, yang secara rasminya dimasyhurkan ke mata dunia pada 1 Januari 1984.

Perkara ini juga telah dititahkan oleh Baginda Sultan dalam Mesyuarat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dua minggu selepas Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan dan kemudian dalam bulan Julai pada tahun yang sama:

Sehubungan dengan itu maka Beta juga sukacita mengambil kesempatan ini untuk berseru kepada rakyat dan penduduk negara ini yang Beta kasihi agar mereka dengan tidak kendur-kendur akan mengekalkan azam dan tekad mereka untuk senantiasa berganding bahu dengan kerajaan Beta dan terus memikul tanggungjawab masing-masing sebagai rakyat dan penduduk sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik mengaulakan cintakan ketenteraman, keamanan, keselamatan negara kita Brunei Darussalam bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam dan senantiasa berusaha pada memperolehi kebajikan dan kebahagiaan serta kemajuan bagi semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini.

Pengembalian semula kedaulatan Brunei sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat yang bersandarkan kepada MIB, telah diperjuangkan selepas tamat Perang Dunia Kedua setelah Brunei bernaung di bawah panji-panji British yang bermula dari tahun 1888 Masihi.

Istiadat Perpuspaan dijalankan di Lapau Baru, Bandar Brunei sebagai perakuan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lambang ketuanan Bangsa Brunei berMIB.
Istiadat Perpuspaan dijalankan di Lapau Baru, Bandar Brunei sebagai perakuan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lambang ketuanan Bangsa Brunei berMIB.

MIB LOGO 2016 MFC

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan mahkota dibawa masuk ke dalam bangunan Lapau untuk Istiadat Perpuspaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan mahkota dibawa masuk ke dalam bangunan Lapau untuk Istiadat Perpuspaan.

Inilah hakikat dan kenyataan sejarah Brunei yang patut diketahui oleh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, di mana kewujudannya tidak boleh lagi dipersoalkan oleh setiap individu yang menjadi rakyat dan bernaung di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Menyentuh mengenai kedudukan masyarakat bukan Melayu atau masyarakat luar yang tinggal di negara ini, Baginda Sultan telah menjelaskan:

…Beta ingin juga untok mengingatkan sekali lagi kepada masharakat Tionghua dan masharakat keturunan lain di negara ini khususnya generasi muda supaya akan terus berusaha pada menyesuaikan diri dengan keperluan-keperluan dan aspirasi Negara Brunei Darussalam dalam berbagai bidang kehidupan, selaras dengan kedudukan Negara Brunei Darussalam yang dengan izin Allah, Insya Allah akan untok selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang demokratik.

Inilah sejarah Negara Brunei Darussalam yang menjadi sandaran dan rujukan untuk mengekalkan kehidupan aman damai dalam masyarakat yang mengamalkan berbagai budaya, agama serta keturunan. Begitulah pentingnya sejarah kepada manusia untuk diamati dan dipelajari dalam melakar sejarah hidup sendiri bagi kebahagiaan hidup selepasnya.

Pada tahun ini, satu lagi peristiwa bersejarah yang akan kita lalui di mana genaplah setengah abad Baginda Sultan memerintah negara ini, insya Allah pada 5 Oktober 2017, kita akan merayakan Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun Baginda menaiki takhta Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Ia adalah satu lagi peristiwa bersejarah yang amat penting bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang mungkin hanya berlaku sekali dalam kehidupan seseorang. Sebagaimana Titah Baginda sempena awal tahun Masihi 2017:

Menjelang tahun 2017 ini, akan berlaku satu lagi sejarah, apabila insya Allah, negara akan merayakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Beta menaiki takhta. Sambutan ini sangat besar ertinya, sebagai cara, untuk kita menghargai sejarah.

Dalam perayaan yang dirancang, Beta berharap semua pihak akan mengamalkan sifat bersederhana. Apa yang penting ialah perayaan atau sambutan sebagai sifatnya ‘petanda’ bagi sejarah. Sejarah adalah ‘lidah’ zaman, yang akan berkata-kata kepada generasi demi generasi tanpa pernah mengenal penat atau bosan. Itulah harga sejarah.

Sifat sederhana di sini, termasuk memberi keutamaan apa yang utama. Namun, bukanlah menjadi tujuan kita untuk menyempitkan wawasan bagi masa depan yang panjang.

Bagi menyambut dan meraikan hari yang penuh bersejarah itu hendaklah berbentuk sederhana yang berlandaskan nilai-nilai MIB, iaitu berpaksikan kepada ajaran agama Islam tanpa pembaziran.

Sambutan tersebut bukan sahaja dicoraki dengan keagamaan bahkan yang penting diniatkan dengan rasa keinsafan dan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas anugerah dan kurniaNya segala kenikmatan dan kesenangan yang dimiliki selama setengah abad Baginda Sultan memimpin rakyat dan penduduk di bumi Brunei Darussalam.

Sebenarnya detik-detik sejarah perjuangan Baginda dan Paduka Ayahanda Baginda serta rakyat negara ini adalah kunci segala kesenangan dan kemajuan ini dengan pengembalian status ketuanan Brunei (kemerdekaan) yang berasaskan MIB.

Sejarah telah memperlihatkan bahawa perjuangan Baginda itu adalah memakan masa yang panjang berbanding dengan negara-negara jiran (khususnya ASEAN), yang mana kebanyakannya mendapat kemerdekaan sebaik sahaja tamat Perang Dunia Kedua seperti Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam, Laos, Cambodia dan Burma kecuali Thailand.

Meskipun pada umumnya, matlamat perjuangan setiap negara adalah untuk mendapatkan kembali kedaulatan negara masing-masing, namun bentuk dan corak kerajaan yang akan diwujudkan selepas kemerdekaan adalah berbeza berdasarkan kehendak dan persetujuan antara pemimpin dan rakyat masing-masing. Alhamdulillah, bagi kita di Negara Brunei Darussalam bentuk Sistem Beraja adalah menjadi pilihan yang berfalsafah MIB. Matlamat dan tujuannya ialah menjadikan Melayu Islam Beraja sebagai pelindung dan pengekalan ketuanan Bangsa Melayu Brunei tanpa mendiskriminasikan orang bukan Melayu dan orang bukan Islam.

Pengamalan dan perlaksanaan Melayu Islam Beraja sebagai dasar negara adalah untuk menegakkan keadilan, keamanan, kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran negara sebagaimana yang ingin dicapai dalam pewujudan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Detik bersejarah menggambarkan keunggulan ketuanan Bangsa Brunei yang mengamalkan MIB melalui Adat Istiadat Berpuspa pada 1 Ogos 1968.
Detik bersejarah menggambarkan keunggulan ketuanan Bangsa Brunei yang mengamalkan MIB melalui Adat Istiadat Berpuspa pada 1 Ogos 1968.

Kita harus sedar bahawa sejarah telah memperlihatkan ketuanan Brunei yang diperjuangkan selepas Perang Dunia Kedua itu bukan sahaja menghadapi cabaran dan rintangan di zaman silam, bahkan juga di era globalisasi masa kini yang terus kita pertahankan bumi Brunei Darusalam yang seluas 2,226 batu persegi daripada lenyap dalam peta dunia.

Asas bagi pengekalan ketuanan Bangsa Brunei di Negara Brunei Darussalam adalah MIB. Kita yakin bahawa ketuanan Bangsa Brunei di bumi Brunei Darussalam akan terus kekal selagi kita mengamalkan Sistem Beraja yang berpaksikan MIB.

Raja adalah pelindung dan pemelihara Ugama Islam yang menjadi pegangan kita untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, di mana kedudukan Ugama Islam sebagai agama rasmi negara serta mengamalkan budaya Melayu. Justeru, perayaan sempena 50 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta kerajaan adalah petanda kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang mengurniakan segala kenikmatan yang kita miliki di bumi Brunei Darussalam.

Perayaan mengingati detik bersejarah pada 5 Oktober 1967, juga sebagai tanda ketaatan dan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah memimpin dan menaungi negara dan rakyat ke jalan yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Semoga dengan perayaan tanda kesyukuran ini akan mendapat ganjaran serta rahmat daripadaNya jua, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberitahu: “Sesungguhnya! jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amat pedih”. (Surah Ibrahim, Ayat 7)

Dalam Al-Quran Surah Saba’, Ayat 15, 16 dan 17 telah digambarkan tentang sejarah Kaum Saba’ yang tidak bersyukur sebaliknya mengingkari perintah Allah Subhanahu Wata’ala. Sejarah ini perlu dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita dan umat manusia, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :

“Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri.” (Kepada mereka dikatakan) “Makanlah olehmu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepadaNya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”.

“Maka mereka berpaling, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang besar, dan Kami gantikan kedua kebun mereka dengan dua kebun yang mempunyai buah yang pahit, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, seta sedikit pohon bidara.”

“Demikinlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan tidaklah Kami membalas melainkan orang yang sangat kufur”.