MELBOURNE, 29 OGOS – Sekatan pergerakan di bandar kedua Australia, Melbourne akan dilanjutkan, umum pihak berkuasa hari ini ketika mereka bergelut untuk membendung penularan varian Delta.
Hampir tujuh juta orang di Melbourne dan kawasan sekitar negeri Victoria dijadualkan untuk menamatkan sekatan pergerakan empat minggu pada Khamis, namun ketua menteri Dan Andrews berkata ia tidak mungkin dilakukan kerana bilangan kes meningkat 92 semalam.
Ia adalah sekatan pergerakan keenam bandar itu dan termasuk perintah berkurung, penutupan taman permainan dan pengehadan senaman.
“Kita masih lagi mengesan banyak kes dalam komuniti untuk kita dapat membuka semula dan memberi balik…kebebasan yang kita hargai dan kebebasan yang kita sangat-sangat mahukan semula,” kata Andrews.
Andrews tidak mendedahkan berapa lama arahan berkurung di rumah itu akan dikenakan, berkata para pegawai akan ‘mempertimbangkan semua pilihan berlainan’.
Sementara itu, negeri jiran New South Wales, termasuk bandar paling ramai penduduk di Australia, Sydney, mencatatkan 1,218 kes baharu hari ini – membawa kepada jumlah kes harian keseluruhan negara itu tinggi.
Kebanyakan 19,000 kes telah dikesan di negeri yang mempunyai sekitar lapan juta penduduk sejak penularan varian Delta bermula pertengahan Jun. – AFP
