Melbourne tamatkan perintah berkurung

MELBOURNE, AUSTRALIA, 28 OKT – Pemilik perniagaan kopi Darren Silverman mempersiapkan vannya selepas sahaja mendengar pengumuman di radio mengenai dengan perintah berkurung selama 111 hari akibat koronavirus berakhir hari ini.

Silverman membuat penghantaran minuman pada Isnin ketika pengumuman dibuat mengenai sekatan di bandar kedua terbesar di Australia itu akan dilonggarkan. Dia melahirkan rasa lega dan bersyukur.

“Ia merupakan satu perjalanan yang sukar ketika anda mencurahkan keringat untuk sesuatu pekerjaan selama 30 tahun tetapi tiba-tiba terjejas dengan sesuatu yang tidak dijangka – saya merasakan satu kelegaan yang tidak dapat diungkapkan dengan perkataan,” katanya.

Menurut kerajaan Victoria, pengumuman itu akan membolehkan 6,200 kedai runcit, 5,800 kafe dan restoran, 1,000 salon kecantikan dan 800 pub dibuka semula, yang melibatkan sebanyak 180,000 pekerjaan.

Orang ramai di jalan-jalan di bandar – di mana penggunaan penutup mulut dan hidung tetap diwajibkan – masih kelihatan lengang hari ini tatkala penduduk Melbourne masih dilarang untuk melakukan perjalanan tidak melebihi 25 kilometer (16 batu) dari rumah mereka dan kebanyakan blok pejabat di bandar tersebut juga masih kelihatan kosong.

Walaupun beberapa pejalan kaki dilihat berjalan di pusat bandar Bourke Street Mall, tetapi jumlah kedai kelihatan berkurangan selepas beberapa daripadanya terpaksa ditutup dan tidak dapat bertahan akibat krisis COVID-19 di negara itu.

Bagaimanapun, kedai-kedai makan yang bakal dibuka selepas pengumuman tersebut mendapat permintaan yang tinggi, di mana beberapa restoran sudah ditempah lebih awal sebelum perintah berkurung ditamatkan.

“Orang ramai ingin keluar, dapat duduk di luar, di meja dan minum secawan kopi atau sesuatu untuk dimakan,” kata pemilik kafe Maria Iatrou.

Perintah berkurung itu sangat sukar bagi mereka yang berada di Melbourne tatkala seluruh Australia di luar Victoria berjaya mengekang gelombang jangkitan kedua tanpa meningkatkan sekatan. – AFP

Beberapa penduduk tempatan dilihat membawa beg membeli-belah selepas perintah berkurung di Melbourne berakhir kelmarin, di mana orang ramai kini boleh keluar menikmati hidangan makanan di restoran dan kafe. – AFP