Melbourne terus catat sifar kes

MELBOURNE, 27 OKT – Melbourne hari ini mencatat hari kedua berturut-turut tanpa kes koronavirus baharu, tatkala restoran dan kafe di pusat wabak gelombang kedua Australia itu bersiap sedia dibuka semula selepas penutupan dalam tempoh yang lama.

Perkembangan itu – pertama kalinya sejak awal Mac bahawa tidak ada kes baharu yang disahkan selama 48 jam – muncul ketika lima juta penduduk di bandar ini menunggu bagi pengumuman pelonggaran sekatan pergerakan pada tengah malam.

Melbourne dan Victoria serta kawasan sekitarnya mengikuti langkah-langkah ketat – termasuk sekatan pergerakan pada waktu malam, larangan keluar rumah dan penutupan perniagaan yang tidak penting – untuk menangani wabak yang dilihat mencatat lebih 700 kes harian sejak Ogos lalu.

Kini terdapat hanya 87 kes koronavirus yang aktif di seluruh negeri. Perdana Menteri Daniel Andrews mengatakan bahawa kadar ujian yang tinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini berkesan mengatasi tambahan jangkitan.

“Ini memberi kita keyakinan yang besar bahawa angka-angka ini adalah gambaran yang tepat mengenai seberapa banyak virus di luar sana,” katanya pada sidang media.

Mengunjungi rumah orang lain akan dibenarkan mulai tengah malam, tambahnya, walaupun ia akan terhad kepada dua orang dengan pergerakan perjalanan sekitar 25 kilometer (15 batu) dari rumah mereka.

Australia sebahagian besarnya membendung penyebaran koronavirus ketika virus itu menular dalam kalangan masyarakat dari hotel-hotel di Melbourne yang dijadikan sebagai tempat kuarantin.

Ketika negara lain mula melonggarkan sekatan dan kembali normal, kota kedua terbesarnya itu hampir ditutup sepenuhnya.– AFP

Seorang lelaki ketika membersihkan kawasan tempat perniagaannya selepas restoran dan kafe di Melbourne akan mula dibuka seperti biasa. – AFP