Melbourne wajibkan guna penutup mulut dan hidung

MELBOURNE, 23 JULAI – Setiap individu yang keluar di kota terbesar kedua di Australia hari ini diarahkan untuk memakai penutup mulut dan hidung ketika pihak berkuasa berjuang untuk mengekang lebih banyak kluster koronavirus di tenggara negara itu.

Sebilangan besar penduduk yang dilihat oleh AFP di jalan-jalan di pusat bandar Melbourne memakai penutup mulut dan hidung pada minggu kedua perintah sekatan pergerakan enam minggu.

Negeri Victoria, yang ibu negaranya Melbourne, mencatatkan 422 kes koronavirus hari ini – menurun dari kadar tertinggi 484 kelmarin, tetapi merupakan hari ke-18 berturut-turut mencatatkan kenaikan angka tiga digit.

Arahan mandatori memakai penutup mulut dan hidung membenarkan polis untuk mengeluarkan denda sebanyak Aus$200 (AS$140) kepada sesiapa yang enggan untuk menutup sebahagian wajah mereka di tempat awam, walaupun peraturan sekatan pergerakan sebelumnya telah dikuatkuasakan bersama amaran.

Pemimpin negeri itu berkata sekatan pergerakan telah membantu menstabilkan jumlah jangkitan namun langkah seterusnya adalah untuk mengurangkannya.

Orang ramai dilihat memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di luar stesen kereta api di Melbourne kelmarin, hari pertama kerajaan mewajibkan penggunaannya bagi mengekang penularan COVID-19. – AFP

“Kestabilan belum memadai, ia tidak akan membawa kita mengatasinya,” kata Perdana Menteri Daniel Andrews kepada media.

“Kita juga perlu melihat pematuhan dalam komuniti pada tahap tertinggi luar biasa,” ujarnya. Penduduk tempatan kelihatannya sudah dimaklumkan, dengan mereka yang berulang alik ke Melbourne memberitahu AFP mereka masih lagi menyesuaikan diri dengan arahan mandatori penutup mulut dan hidung itu, yang senang diperolehi di kedai-kedai.

“Ia perkara luar biasa untuk dilihat…ia tidak normal,” kata Zoie Dicker.

Di tempat lain di Australia, penutup mulut dan hidung jarang dilihat.

Namun jumlah kes yang meningkat di Victoria telah mempertingkatkan gesaan bagi sekatan lebih ketat ketika harapan bagi pemulihan pantas dihambat oleh wabak itu. – AFP