‘Melentur buluh biarlah dari rebung’

LAUSANNE – Kanak-kanak umpama rebung, boleh dilenturkan dan dibentuk. Di negara Switzerland, satu ‘projek kerakyatan’ telah ditubuhkan oleh tiga sekolah tadika swasta di barat bandar Lausanne bertujuan mempersiapkan kanak-kanak dari umur muda untuk mengambil bahagian dalam demokrasi secara langsung yang terkenal di negara itu yang memaparkan referendum mengenai pelbagai isu atau topik setiap beberapa bulan.

Daripada bermain rumah-rumah atau blok bangunan, puluhan murid tadika Swiss sebaliknya berbaris untuk membuang undi mereka dalam pengundian yang akan membentuk kehidupan mereka di kampung olok-olok di mana mereka berkuasa.

“Ideanya adalah untuk membolehkan kanak-kanak belajar demokrasi,” beritahu Olivier Delamadeleine, ketua kumpulan Educalis yang menguruskan sekolah tadika, kepada AFP.

“Kami rasa penting untuk kanak-kanak mempelajarinya sejak dari kecil lagi.”

Terdapat dorongan yang semakin meningkat dari pihak berkuasa Switzerland dalam usaha sedemikian, namun projek Educalis adalah paling menonjol disebabkan umur peserta yang masih kecil.

Reaksi murid tadika semasa referendum di Lausanne, dianjurkan oleh sekolah tadika swasta Educalis, bertujuan mengajar kanak-kanak dalam sistem demokratik terkenal di Switzerland. – AFP
Kanak-kanak memasukkan kertas undi mereka dalam kotak undi di Lausanne semasa referendum yang dianjurkan oleh Educalis. – AFP
Kanak-kanak bersama guru Eve memindahkan kotak undi untuk operasi pengiraan undi semasa referendum di Lausanne. – AFP
Kanak-kanak dan guru mereka mengira undi semasa referendum yang dianjurkan oleh Educalis di Lausanne. – AFP

Sekali dalam seminggu, kira-kira 35 kanak-kanak berusia di antara tiga dan empat tahun dari tiga sekolah tadika berkumpul di ‘kampung’ kumpulan di sebuah kawasan berhutan di pinggir bandar.

Sesetengah kanak-kanak akan memainkan peranan sebagai ketua kampung, jururawat atau pegawai polis, memakai pakaian seragam dijahit sendiri.

“Mereka memandang serius lakon peranan mereka,” kata Demadeleine tatkala salah seorang ‘jururawat’, memakai kemeja-T dengan palang merah di baju panasnya, meluru untuk memberikan pertolongan kepada seorang kanak-kanak yang menangis setelah terjatuh di kawasan salji.

Mereka menghabiskan masa beberapa hari di luar di kampung tersebut, tanpa menghiraukan keadaan cuaca.

Berpakaian dalam baju panas beraneka warna, kanak-kanak duduk dengan rasa gelisah di tangga sementara menunggu acara besar pada hari itu, iaitu referendum.

Eve L’Eplattenier, yang mengetuai dua sekolah tadika, melutut dalam salji di belakang sebuah meja dengan peti undi besi di atas dan menuding kepada bendera putih dengan gencana dihiasi dengan huruf ‘E’ besar berkibar-kibar di belakangnya.

“Inilah bendera baharu kamu,” katanya, sambil mengingatkan kanak-kanak mengenai undi pertama di kampung pada November, apabila mereka diminta memilih di antara dua corak.

Ketika itu, kanak-kanak baru-baru ini menerima sepucuk sampul menerusi pos dengan bahan pengundian yang sama dengan yang diterima oleh orang dewasa sebelum setiap pengundian dalam negara.

Kali ini, kanak-kanak diminta untuk memutuskan bagaimana mereka ingin mengundi: dengan meletakkan pangkah X bersebelahan lukisan yang menggambarkan sistem pengundian rahsia sekarang, ataupun dengan mengangkat tangan.

Untuk membantu menganjur pengundian, L’Eplattenier memanggil dua budak perempuan, Olivia dan Layla, yang memakai kemeja-T bercetak tangan di luar baju panas mereka untuk memperkenalkan mereka sebagai ketua kampung.

Mereka mengagihkan sampul yang telah digamkan dengan kertas undi yang telah lengkap diisi oleh kanak-kanak di rumah, dan setiap orang meletakkan salah satu undi rahsia ke dalam kotak undi.

Selepas itu, lima kanak-kanak dan tiga orang dewasa memasuki satu tempat kecil yang biasanya digunakan untuk makan yang kini mempunyai poster dengan perkataan ‘pejabat pengiraan undi’.

Duduk di sekeliling meja besar, L’Eplattenier menjelaskan cara-cara membuka setiap sampul dan meletakkan kertas undi dalam dua timbunan.

Kemudian, mereka mengira setiap timbunan dengan teliti, di mana 19 undi untuk mereka yang mengangkat tangan dan 17 yang memilih untuk meneruskan dengan pengundian rahsia.

“Mereka yang mengangkat tangan menang,” beritahu Layle kepada kanak-kanak yang berkumpul di luar.

Ada di antara mereka kelihatan kecewa pilihan mereka gagal menang pada hari itu, namun L’Eplattenier berkata membantu mereka menghadapi kekecewaan juga merupakan sebahagian daripada projek tersebut.

Pengundian seterusnya, dijadualkan diadakan dalam beberapa bulan, dijangka dianjurkan mengenai sistem kitar semula untuk kampung.

Selepas itu, kanak-kanak mungkin dipanggil untuk mengundi mengenai isu seperti ‘masa tidur sekejap, tempoh tidur dan sama ada tidur sekejap harus diwajibkan, kata L’Eplattenier.

Idea itu, menurutnya, adalah untuk menunjukkan kanak-kanak bagaimana pengundian boleh memberikan kesan ke atas kehidupan harian mereka dan bagaimana mereka boleh menjadi aktor dalam kehidupan harian mereka. – AFP