Melestarikan keindahan alam sekitar

Oleh SIM Y. H.

Gambar serahan PPNBD

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun dalam meningkatkan kesedaran kepentingan memulihara alam sekitar. Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) seperti lazimnya juga tidak ketinggalan untuk sama-sama meraikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dengan mengadakan kempen kebersihan dan menanam pokok baik di peringkat daerah dan negara.

Ke arah itu, Majlis Pelancaran Kempen Membersihkan Pantai sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun 2020 serta bersempena Sambutan Hari Pengakap Negara Brunei Darussalam dengan Program ‘Earth Tribe: Plastic Tide Turners Challenge Badge’ anjuran Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara telah diadakan di Pantai Serasa dan disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap juga selaku Pesuruhjaya Program Belia, Awang Junaidi bin Haji Hussin; pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap; Pengerusi Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Haji Jalani bin Haji Ibrahim; Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Supri bin Pengiran Haji Hashim; pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap daerah, penolong-penolong pesuruhjaya pengakap daerah, pemimpin-pemimpin pengakap, penolong-penolong pemimpin pengakap, ahli Pengakap Dewasa, Pengakap Kelana dan pengakap.

Semai perasaan cinta alam sekitar

Sebelum memulakan kegiatan membersihkan Pantai Serasa, kesemua peserta program melafazkan ikrar ‘Earth Tribe: Plastic Tide Turners Challenge Badge’.

Program anjuran Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara itu, bertujuan untuk menyemai perasaan cinta dan menjaga alam sekitar dalam kehidupan seharian terutamanya menjaga keindahan pantai sebagai satu perkara yang mesti diterapkan kepada generasi muda masa kini serta pendidikan berterusan sepanjang hayat kita.

Pengakap mengutip sampah yang dihanyutkan oleh air pasang di Pantai Serasa semasa kempen membersihkan pantai.
Haji Awang Badar dan ahli-ahli pengakap bergambar dengan hasil kutipan sampah semasa kempen membersihkan pantai di Pantai Seri Kenangan Tutong pada 5 Julai lalu.

Di akhir program itu, ahli-ahli pengakap telah berjaya mengumpulkan sebanyak 100kg bahan buangan plastik berupa botol minuman mineral dan sebanyak 60kg bahan-bahan buangan bukan jenis plastik. Bertepatan dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2020 iaitu, Masa untuk Alam Semula Jadi, PPNBD turut mengambil inisiatif dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti menanam anak pokok dan membersihkan pantai.

Walaupun acara pada 2020 disambut dalam keadaan kewaspadaan akibat penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia, semua yang terlibat mematuhi garis panduan bagi menjaga kebersihan serta meng-amalkan penjarakan sosial seperti mana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pada tahun ini, PPNBD telah memulakan kegiatan dengan program Puak Bumi: Cabaran Juara Alam Semula Jadi yang berlangsung di kawasan Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Temburong di Kampung Lekiun dengan kegiatan menanam beberapa jenis anak pokok durian, pisang madu dan tebu di sekitar kawasan berkenaan.

Program ‘Earth Tribe: Plastic Tide Turners Challenge Badge’

PPNBD telah memberi tumpuan kepada program ‘Earth Tribe: Plastic Tide Turners Challenge Badge’ dengan menjalankan Kempen Membersihkan Pantai yang akan berlangsung di lima pantai terpilih.

Matlamat utama program adalah untuk mengumpulkan sebanyak lebih 200kg botol-botol plastik yang dihanyutkan oleh air pasang ke pantai dan di samping itu mengumpulkan seberapa banyak bahan-bahan buangan bukan plastik di setiap pantai sepanjang kempen ini. Progam yang pertama telah dijalankan pada 14 Jun sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dan kempen membersihkan pantai di Pantai Peranginan Kampung Sungai Liang dan menanam beberapa batang anak pokok kelapa pandan.

Seterusnya pada 5 Julai, kempen membersihkan pantai kali kedua telah dijalankan di Pantai Seri Kenangan Tutong. Daripada dua program ‘Earth Tribe: Plastic Tide Turners Challenge Badge’ yang telah dijalankan itu, ahli-ahli pengakap berjaya mengumpulkan botol-botol plastik yang dihanyutkan oleh air pasang ke pantai sebanyak 75 kilogram dan sebanyak 70 kilogram bahan-bahan buangan bukan plastik.

Penglibatan orang muda dalam Program Puak Bumi

Pada masa yang sama, PPNBD juga mengumumkan penglibatannya dalam program Puak Bumi yang telah dilancarkan oleh Pergerakan Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) yang disokong oleh pihak Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) pada 5 Jun lalu.

Ia adalah satu inisiatif baharu untuk pendidikan alam sekitar yang akan melibatkan orang muda, baik pengakap dan bukan pengakap, dalam gerakan global bagi tindakan alam sekitar.

Program Puak Bumi akan menggantikan Program Alam Sekitar Pengakap Sedunia (WSEP) yang telah dilancarkan sejak 2008 bagi meningkatkan lebih pemahaman dan tindakan semua me-ngenai pendidikan alam sekitar dengan orang muda dalam pengakap.

Melalui program Puak Bumi, orang muda dapat belajar mengenai kesan terhadap alam sekitar dan cara mereka bertindak dalam masyarakat melalui rangkaian Cabaran Puak Bumi yang menarik, bertujuan memelihara dan melindungi planet bumi kita.

Pelancaran program Puak Bumi telah dirancang bagi memastikan bahawa pengakap sentiasa menawarkan pengalaman pendidikan yang lebih relevan dan keyakinan diri dalam menangani beberapa cabaran dan tekanan terhadap alam sekitar seperti kesan perubahan mendadak iklim dunia, pergantungan kepada bahan bakar fosil, peningkatan tabiat penggunaan dan kepupusan alam semula jadi dan biodiversiti.

Sama ada berada di rumah atau dalam masyarakat, ahli pengakap dan pemimpin dewasa adalah dijemput untuk menyertai masyarakat Puak Bumi Global dengan mengambil bahagian dalam siri Cabaran Puak Bumi yang menumpukan kepada empat langkah pembelajaran berkaitan dengan alam sekitar dan kemapanan.

Di antara cabaran pertama yang diketengahkan sebagai sebahagian daripada Puak Bumi ialah Cabaran Juara Alam Semula jadi yang direka dengan kerjasama rakan kongsi pihak Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Cabaran Tide Turners Plastic Challenge yang direka dengan kerjasama rakan kongsi pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Alam Sekitar dan Cabaran ‘Scouts Go Solar’ yang direka dengan kerjasama rakan kongsi pihak Solafrica.

Tatkala Puak Bumi terus berkembang sebagai platform untuk tindakan alam sekitar, lebih banyak cabaran dan elemen permainan yang melibatkan rakan kongsi akan ditambah dalam inisiatif ini, yang memberi lebih banyak peluang bagi anak muda untuk mendapatkan lencana-lencana pengiktirafan dan juga menjadi juara kemapanan.

Beberapa siri pelaksanaan Puak Bumi dan peralatan bagi tindakan cabaran telah dikembangkan bagi membolehkan persekutuan pengakap kebangsaan dan pemimpin dewasa memperkenalkan inisiatif baharu dalam Program Belia Kebangsaan kepada ahli-ahli pengakap.