Oleh Nurdiyanah R.
Tibanya Hari Lebaran, pelbagai kuih-muih pasti terbayang di hadapan mata. Memang tidak dinafikan ada di antara individu yang memilih untuk membuat sendiri kuih-muih yang bakal dihidangkan kepada para tetamu, namun terdapat juga individu yang lebih gemar membeli sahaja sama ada di bazar-bazar atau ditempah daripada para peniaga.
Dalam meniti zaman silih berganti, kita juga dapat menyaksikan kuih-muih pada hari lebaran turut mengalami perubahan. Pelbagai kuih-muih dihasilkan oleh masyarakat di negara ini bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Apabila mengimbau kembali nostalgia sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri suatu ketika dahulu, pastinya insan-insan yang pernah merasai detik-detik itu akan teringat beberapa jenis kuih-muih raya tradisi yang semakin dilupakan malah sebahagiannya tidak pernah diketahui kewujudannya oleh generasi masa kini.
Kuih-Muih Nostalgia Dilupa Jangan
Suatu ketika dahulu, hidangan kuih-muih begitu ringkas untuk dijamu bersama para tetamu apabila majlis kunjung-mengunjungi ke rumah-rumah.






Kuih-muih tradisi seperti Bahulu, Sapit, Cincin, Cacah, Ardam dan juga Penyaram sering dijadikan kudapan penyeri ruang tamu semasa menyambut hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Namun kini, kewujudan hidangan ini dilihat semakin tersisih.
Tetapi ada juga kuih-muih tradisional yang masih lagi popular dan diminati generasi kini antaranya kuih Mor iaitu sejenis kuih berbentuk bulat, disaluti gula kastor bertekstur lembut dan gebu untuk dimakan dengan rasanya yang manis.
Manakala kuih semperit memang digemari ramai kerana rasanya lemak manis dengan tekstur rapuh dan lembut, Kuih Batang Buruk pula meskipun namanya ‘buruk’, namun kuih ini tidaklah seburuk yang disangka, malahan amat lazat untuk dinikmati pada pagi raya. Ia juga rangup ketika dimakan dengan rasa manis kacang hijau dan bersalut dengan serbuk manis, kuih tradisional yang diwarisi turun-temurun ini boleh dikatakan ‘malar segar’ dalam era masa kini.
Rata-rata semuanya tetap menjadi pilihan wajib pada Hari Lebaran bagi kebanyakan orang dan pastinya masih mampu memikat selera bukan sahaja dalam kalangan golongan dewasa, malahan orang tua dan kanak-kanak.
Hakikatnya, walaupun pelbagai kuih-muih serta kek moden yang enak dan sedap belaka telah ‘menjuarai carta’ dalam mana-mana sosial media namun sebahagian kuih tradisional ini tetap memiliki tarikan yang tersendiri.
Sungguhpun demikian peredaran masa dan keadaan yang pantas berlaku turut merubah keaslian kek serta kuih-muih yang telah diinovasi dan diberikan sentuhan baharu untuk mencipta satu kelainan oleh sesetengah pengusaha kuih-muih di negara ini dengan perasa yang pelbagai seperti Kuih Mor berintikan atau memiliki rasa Durian, Pandan, Keladi, Kacang Tanah, Oreo, Butterscotch, Cip Coklat, Cornflakes, Velvet dan sebagainya.
Perubahan tersebut telah mencetuskan satu idea kreatif bukan saja untuk kelangsungan kuih-muih tradisional namun untuk para peniaga yang ingin mencari kelainan berbeza.
Memenuhi Cita rasa Bersama
Bak cendawan selepas hujan, begitulah ibarat curahan berbagai-bagai ciptaan dan kreativiti kuih-muih moden yang kian mewarnai dunia kulinari terutama apabila menjelang Syawal dari tahun ke tahun.
Sebut sahaja antaranya Kek Tapak Kuda, Kek Batik, Kek Roll Kinder Bueno, Kek Roll Mars, Kek Roll Kitkat, Kek Lapis Prune, Kek Lapis Masam Manis, Kek Lapis Oreo, Kek Lapis Begawan Solo dan Kek Lapis Nutella semuanya semakin banyak diketengahkan oleh para peniaga kuih-muih sama ada menerusi jualan langsung atau mahu pun dalam talian.
Bagaimanapun, sesetengah golongan lebih suka kuih-muih yang asli atau klasik kerana bagi mereka ia mencetuskan nostalgia, mengimbau kenangan masa lalu dan alangkah indahnya jika kulinari warisan sejak zaman berzaman itu masih terus diingati dan diperkenalkan serta sentiasa memenuhi cita rasa orang lama dan generasi muda sekali gus melestarikan kuih-muih warisan nenek moyang kita agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Dalam pada itu, meskipun tahun ini kita menyaksikan perbezaan dalam Sambutan Aidilfitri dari tahun-tahun sebelumnya berikutan dengan wabak koronavirus COVID-19, namun perkara ini tidak menghalang kita untuk membuat persediaan dan menjalankan hari kemenangan secara penuh kesederhanaan di rumah atau kediaman masing-masing.
Oleh itu, bersama-samalah kita beringat dengan mengamalkan penjarakan sosial serta menitikberatkan kebersihan diri walau di mana pun berada.




























