Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Melestarikan sumber air tanggungjawab bersama

    Oleh Nurdiyanah R.

    Air merupakan sumber kehidupan yang penting bagi makhluk hidup seperti haiwan dan tumbuhan tidak terkecuali manusia. Tidak dapat dinafikan air adalah sumber semula jadi yang memainkan peranan amat kritikal dalam kehidupan setiap makhluk yang hidup, tanpa air segalanya terbatas.

    Daripada kegunaan untuk mencuci pakaian, memasak dan pembersihan diri bagi memenuhi rutin kehidupan sehari-hari sehingga menjana keperluan pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian, perikanan dan sebagainya. Pastinya air adalah komoditi amat berharga secara menyeluruh. 

    Namun apakah yang akan terjadi kepada lingkungan yang bernyawa jika sumber air meliputi tasik, sungai sehingga ke kawasan lautan berlaku pencemaran yang terjadi daripada limpahan sisa toksik mahu pun sampah sarap dan sebagainya?

    Seiring berlalunya waktu, jika pencemaran akibat ‘tangan-tangan manusia’ berlaku secara berlarutan, pastinya impak-impak yang kurang menyenangkan bakal bertandang tanpa di undang menimpa seluruh kehidupan.

    Antaranya dari segi gangguan kesihatan manusia dan haiwan-haiwan akibat mengkonsumsi sumber air yang tidak begitu bersih kualitinya. Tanpa air tanah-tanih juga akan menjadi tandus dan gersang menyebabkan tumbuh-tumbuhan yang sebelumnya tumbuh segar menghijau akan layu dan kering hingga akhirnya mati.

    Sebanyak 99 peratus daripada air tawar boleh guna adalah air bawah tanah yang mempunyai kelebihan kualiti tinggi dan memerlukan tahap rawatan sangat rendah.
    Antara kepentingan air bawah tanah termasuk membekalkan sebahagian besar air yang digunakan untuk minuman, sanitasi, penghasilan makanan dan proses industri.
    Pencemaran ke atas alam sekitar dengan pembuangan sampah-sarap dan juga bahan-bahan toksik di dalam sungai, tasik dan laut boleh mengakibatkan sumber air tercemar dan menjejaskan kualitinya.
    Kehidupan terutama di kawasan gersang dan kontang sangat bergantung kepada air bawah tanah.

    ‘Groundwater, Making the Invisible Visible’

    Ke arah memperingati betapa pentingnya air sebagai sumber alam yang tidak ternilai kepada semua hidupan di muka bumi ini, pada tanggal 22 Mac setiap tahun sejak 1993 lagi merupakan detik masyarakat global meraikan sam-butan Hari Air Sedunia.

    Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menerusi kenyataan dalam World Water Day 2022 Factsheet, Hari Air Sedunia sememangnya memfokuskan tindakan bagi menangani krisis air global, di samping meningkatkan kempen kesedaran tentang 2 bilion orang yang hidup tanpa akses air bersih.

    Adapun teras utama Hari Air Sedunia adalah bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6 iaitu ‘Air dan Sanitasi Untuk Semua Menjelang 2030.’ Dalam pada itu, sambutan berkenaan turut menitikberatkan isu-isu yang berkaitan sehingga sering menjadi tumpuan seperti kekurangan air, pencemaran air, bekalan air yang tidak mencukupi, kekurangan sanitasi dan kesan daripada perubahan iklim.

    Dengan bertemakan ‘Groundwater, Making the Invisible Visible’, Hari Air Sedunia pada tahun ini yang umumnya memberi fokus kepada air bawah tanah sebagai sumber penting membekalkan hampir separuh daripada semua air yang boleh diminum di seluruh dunia.

    Perlu diketahui, walaupun air masin membentuk sebahagian besar air di planet ini, ia tidak sesuai untuk kegunaan manusia, manakala 99 peratus daripada air tawar boleh guna adalah air bawah tanah yang mempunyai kelebihan kualiti tinggi dan memerlukan tahap rawatan sangat rendah.

    Air bawah tanah adalah air yang ditemui bawah tanah di akuifer yang merupakan pembentukan geologi batu, pasir dan kerikil yang menampung kuantiti air yang banyak dan boleh diekstrak ke permukaan menggunakan pam dan telaga. Air bawah tanah dicas semula terutamanya daripada hujan dan salji menyusup ke dalam tanah.

    Mengapa air bawah tanah penting?

    PBB antaranya turut menekankan bahawa hampir semua air tawar di dunia adalah air bawah tanah maka kehidupan tidak akan mungkin tanpa adanya air bawah tanah. Antara kepentingan air bawah tanah termasuk membekalkan sebahagian besar air yang digunakan untuk minuman, sanitasi, penghasilan makanan dan proses industri.

    Dalam pada itu, kehidupan terutama di kawasan gersang dan kontang sangat bergantung kepada air bawah tanah. Malah, ia juga mustahak untuk fungsi ekosistem seperti tanah lembap dan sungai. Apa yang menarik, menurut laporan PBB, rantau Asia dan Pasifik mempunyai ketersediaan air per kapita terendah di dunia dengan penggunaan air bawah tanah di rantau itu diramalkan meningkat 30 peratus menjelang 2050.

    Oleh itu, satu hal yang perlu ditekankan bersama bahawa apabila berlakunya eksploitasi berlebihan air bawah tanah maka ia boleh membawa kepada ketidakstabilan dan penurunan tanah; di kawasan pantai, dan juga pencerobohan air laut di bawah tanah.

    Masyarakat dunia perlu memainkan peranan lebih komprehensif dalam memelihara sumber air daripada eksploitasi berlebihan dan pencemaran yang boleh menjurus kepada pelbagai implikasi buruk termasuklah kehabisan sumber. Langkah dan strategi meneroka, melindungi dan penggunaan air bawah tanah secara mampan adalah penting untuk memastikan survival serta adaptasi terhadap perubahan iklim, selain memenuhi keperluan populasi yang semakin berkembang.

    Semai tanggungjawab bersama

    Oleh yang demikian, dalam menyentuh mengenai kepentingan air sebagai nadi kehidupan kita secara keseluruhannya maka kelestarian sumber air harus dijadikan keutamaan di setiap negara mahu pun di mana pun keberadaan kita bagi memastikan air yang mencukupi dan selamat untuk kegunaan semua.

    Menjadi tanggungjawab kita juga sebagai manusia untuk memelihara sumber utama kita untuk mengelakkan ianya daripada tercemar dan menjejaskan kualitinya. Antaranya tidak melakukan pencemaran ke atas alam sekitar dengan pembuangan sampah-sarap dan juga bahan-bahan toksik di dalam sungai, tasik dan laut.

    Di samping itu, berjimat cermat dalam penggunaan air merupakan salah satu langkah yang perlu ditekankan dalam setiap individu setiap masa. Tidak kira dalam kehidupan berkeluarga atau bermasyarakat, semua pihak mestilah memainkan peranan dalam menyemai sikap bertanggungjawab dalam menghargai air dengan menggunakannya secara berhemah.

    Ingatlah di saat kita memiliki keperluan air yang mencukupi, terdapat insan-insan yang kurang bernasib baik yang mengalami krisis air dalam kehidupan harian mereka. Oleh yang demikian, bersungguh-sungguhlah kita dalam menghargai nikmat air, anggaplah setiap titisan itu umpama emas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...