Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Melestarikan tradisi tenunan sari Banarasi

    VARANASI, INDIA – Dalam bilik gelap berdekatan tebing sungai Ganges di India, jari-jemari kelihatan lincah memintal benang pada mesin tenun usang ketika gentian sutera dihasilkan diiringi bunyi keletak-keletuk alang kayu.

    Studio sesak milik Mohammad Sirajuddin merupakan komuniti artisan Varanasi tipikal yang bekerja dengan cermat dan teliti untuk menghasilkan sari sutera, amat dihargai dalam kalangan penenun sebagai lambang gaya pakaian mentereng tradisional India.

    Bandar yang dianggapnya tempat tinggal itu disanjungi dalam kalangan penganut Hindu, yang percaya pembakaran di tebing jalan air suci menawarkan peluang untuk melepaskan diri daripada kitaran kematian dan kelahiran semula.

    Namun pandangan Sirajuddin sendiri mengenai kehidupan tertumpu pada seni pertukangannya, dengan persaingan daripada alternatif yang lebih kos efisien dan import murah dari China meninggalkan masa depan mata pencariannya terjejas.

    “Sekiranya awda berjalan di seluruh kawasan ini, awda akan melihat ia adalah satu-satunya rumah dengan mesin tenunan tangan,” beritahu lelaki berusia 65 tahun itu kepada AFP.

    Seorang pemilik kedai menunjukkan sari Banarasi tradisional di sebuah kedai di Varanasi. – AFP
    Seorang pekerja menggunakan alat tenun elektrik untuk menenun sari sutera Banarasi di bengkel di Varanasi. – AFP
    Seorang pekerja menggunakan alat tenun tangan untuk menenun sari sutera Banarasi di sebuah bengkel di Varanasi. – AFP
    Pekerja memberikan sentuhan akhir kepada sari sutera Banarasi. – AFP
    Benang beraneka warna disimpan berhampiran alat tenun tangan di bengkel Varanasi. – AFP

    “Malah ia hanya akan berada di sini selagi saya masih hidup. Selepas itu, tidak ada sesiapa dalam rumah ini yang akan meneruskan kerja ini.”

    Penenun tangan Varanasi telah memperoleh reputasi kecemerlangan selama beberapa abad, mengkhusus dalam pola yang berjalin-jalin dan kompleks, corak bunga dan kain broked emas.

    Sari Banarasi – digelar sedemikian sebagai rujukan kepada nama lama bandar – hasil rekaan mereka amat dicari-cari oleh pengantin India dan sering diwarisi dari satu generasi kepada generasi lain sebagai pusaka turun-temurun.

    Pakaian elegan itu dijual dengan harga mahal – kerja Sirajuddin sekarang akan dijual dengan harga 30,000 rupee – namun kos input dan potongan diambil oleh orang tengah tidak meninggalkan banyak untuk penenun.

    “Berbanding dengan kerja keras yang dicurahkan dalam menghasilkan sari, keuntungan adalah tidak seberapa,” kata Sirajuddin.

    Jirannya semua telah beralih kepada penggunaan alat tenun elektrik untuk pakaian mereka, yang kekurangan kehalusan tekstil tenunan tangan dan dijual dengan satu pertiga daripada harga tetapi mengambil masa yang sekejap untuk disiapkan.

    Nasib perniagaan tekstil India – dari segi sejarah industri kotej – telah lama menjadi subjek kepada gangguan mendadak dari luar negara.

    Fabriknya yang halus amat dihargai oleh golongan elit Eropah abad ke-18 tetapi kilang era penjajahan British dan perindustrian England membanjiri India dengan tekstil yang lebih murah, sekali gus memusnahkan pasaran pakaian tenunan tangan.

    Perancangan pusat berinspirasikan fahaman sosialis selama berdekad-dekad selepas kemerdekaan memberikan sedikit kelegaan dengan melindungi kraf tangan tempatan daripada pasaran antarabangsa.

    Namun pembaharuan ekonomi pada awal 1990 membuka negara kepada barangan murah ketika jiran negara di utara sedang mengukuhkan dirinya sebagai bengkel global.

    “Yan dan fabrik China datang dari merata tempat,” kata penulis dan bekas ahli politik Jaya Jaitly, yang telah menulis sebuah buku mengenai tekstil tenunan Varanasi, menambah kilang sari telah meniru corak dan butiran unik bandar berkenaan bertahun-tahun lamanya.

    “Kesemua industri yang berkembang pesat berkenaan dimusnahkan menerusi persaingan China, dan keupayaan mereka untuk menghasilkan sari pada kuantiti yang besar pada harga amat rendah.”

    Jaitly berkata penenun tempatan memerlukan perlindungan daripada kerajaan untuk memelihara pelbagai tradisi artisan, jika tidak ia berdepan risiko lenyap.

    “Kami mempunyai jumlah alat tenun tangan terbesar, teknik serta kemahiran lebih berbanding mana-mana tempat lain di dunia,” katanya.

    “Saya fikir ia benar-benar satu tradisi yang patut dibanggakan.”

    Permintaan untuk sari Banarasi, telah pun terhad kepada segelintir pelanggan India yang mampu menjustifikasi perbelanjaan pada harga premium, yang juga terjejas ekoran pandemik COVID.

    Ancaman virus mungkin telah berkurangan di India, tetapi kehilangan pekerjaan dan kesan besar ke atas ekonomi turut memberikan kesan hebat.

    “Penenun juga amat terjejas. Mereka tidak mendapatkan harga yang betul untuk produk mereka, bayaran diterima lambat,” menurut peniaga sari tempatan Mohammad Shahid, kedainya lengang tetapi pembantu jualan menyusun pakaian sutera di rak.

    Namun begitu, Shahid berharap pelanggan kaya akan datang kembali untuk membelinya.

    “Mereka yang tahu nilai alat tenun tangan akan terus membeli dan menghargai sari kami. Alat tenun tangan boleh merosot tetapi mereka tidak sekali-kali akan lenyap,” beritahu Shahid, 33, kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...