KUALA LUMPUR, 12 April – Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Mellanox Technologies menyasarkan untuk menyertai inisiatif ekonomi digital Malaysia menerusi pelaburannya dalam bidang sumber manusia, infrastruktur dan pendidikan pengguna.
Naib Presiden dan Pengurus Besarnya bagi rantau Asia Pasifik dan Jepun, Charlie Foo berkata syarikat itu mahu menjadi sebahagian daripada usaha Malaysia menyediakan penyelesaian saling hubung berskala 10, 25, 40, 50 dan 100 gigabit yang menepati keperluan sekarang dan masa depan.
“Syarikat atau pertubuhan boleh menumpukan usaha mengendalikan perniagaan mereka daripada memikirkan aspek tuntutan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan rancangan kemungkinan pengembangan syarikat itu di Malaysia, hari ini.
Foo bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pelaburan terbabit.
Mellanox Technologies menyediakan penyelesaian menyeluruh ‘Ethernet & InfiniBand’ iaitu penyelesaian sa-ling hubung pintar dan perkhidmatan berkaitan untuk pelayan, penyimpanan dan sistem infrastruktur berkaitan.
Aspek ethernet terbukanya menawarkan prestasi dan kepadatan port dengan penyelesaian casis dan pengurusan fabrikasi lengkap yang membolehkan operasi tumpuan pusat data pada sebarang skala dan pada masa sama mengurangkan kos operasi serta kesukaran infrastruktur.
Foo berkata syarikat itu juga merancang untuk melabur dalam unit pengujian bagi mendidik pengguna mengenai kaedah penyelesaian yang ditawarkan pihaknya.
Selain itu, katanya, usaha sedemikian juga dapat membawa masuk aspek kepakaran teknikal.
Menurutnya, syarikat itu juga optimis terhadap peluang pertumbuhan di Malaysia seiring dengan usaha pelbagai pihak atau syarikat yang memulakan perjalanan transformasi digital masing-masing, menambahbaik tumpuan terhadap pelanggan serta membina infrastruktur teknologi awan.
“Usaha pertubuhan atau syarikat yang berkembang seiring dengan transformasi digital ini akan turut membawa kepada tuntutan atau keperluan berkaitan. Ini memerlukan kemampuan untuk menambah aspek bagi melancarkan data serta mendapat keperluan data dalam masa sebenar,” katanya. – Bernama