Meluangkan masa berkualiti bersama anak

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Gelombang kedua COVID-19 telah memaksa sekolah-sekolah kembali kepada pengajaran dalam talian dan kanak-kanak mencari aktiviti menarik untuk mengisi masa.

Dengan yang demikian, ibu bapa juga terpaksa mencari cara untuk menghiburkan anak-anak mereka antara pembelajaran di rumah, kerja rumah dan kerja pejabat.

Salah seorang ibu, Hajah Mumtazah berkata, “Setentunya sangat sibuk, tetapi secara sihat, kerana kami dapat meluangkan masa keluarga yang berkualiti dan mengeratkan ikatan bersama.”

Salah satu aktiviti terkini yang dianjurkannya adalah sambutan ulang tahun mini bagi anak bongsunya, yang tidak dapat meraikannya bersama rakan-rakan.

“Untuk menjadikannya acara menarik dan menyeronokkan, saya benarkannya membuat kek hari jadinya sendiri, pastinya dengan bimbingan saya,” ujarnya.

Anak-anak Dayang Syasya dan anak saudaranya akan duduk bersama menyiapkan tugasan sekolah semasa pembelajaran dalam talian.

Sementara itu, Dayang Illi Rahman yang akan melahirkan anaknya yang ketiga bulan depan pula berkata, “Bekerja dari rumah boleh menjadi sukar, terutamanya apabila mempunyai anak-anak kecil yang ingin bersama sepanjang masa, kemungkinan besar memikirkan keluarga sedang bercuti.”

Menurutnya, tahun lalu beliau mengalami tekanan kerana peralihan drastik kepada bekerja di rumah.

“Mulanya, anak-anak saya tidak da-pat memahami, ia merupakan satu gangguan emosi kepada saya.

“Kali ini, saya lebih bersedia dan dua anak perempuan saya dapat memahami apabila saya memerlukan ruang. Suami saya kerap perlu melayani anak-anak semasa kelas dalam talian, memenuhi keperluan mereka yang berlainan dan sebagainya, yang tidak mudah.

“Selepas pukul 5 petang, kami akan meluangkan masa bersama untuk bertanam atau berenang. Komunikasi dan kesabaran adalah kunci. Akan sentiasa ada masa sukar, tetapi akhirnya ia berbaloi,” tambah beliau.

Seorang lagi ibu yang bekerja dari rumah, Dayang Syasya rasa bersyukur dengan suami dan adik-beradik yang melayani anak-anak, sementara beliau membuat kerjanya. Menurutnya, tinggal dalam rumah dengan dua keluarga boleh menjadi sibuk dan kerap bercakap dengan suara besar sementara bekerja menerusi komputer riba.

“Nasib baik, tiga anak saya dan tiga ahli keluarga kecil lain memahami situasi,” ujarnya.