Memacu pembelajaran digital

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Plus Three (APT EMM) kali ke-5 dan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan East Asia Summit (EAS EMM) kali ke-5 secara maya yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Republik Filipina dalam kapasitinya selaku pengerusi mesyuarat-mesyuarat tersebut pada 2021, yang bertemakan Transforming Education The ASEAN Way: Forging Partnerships in the Age of Global Disruptions.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa Mesyuarat APT EMM kali ke-5 dan Mesyuarat EAS EMM kali ke-5 telah dirasmikan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte. Dalam ucapannya, TYT Duterte menekankan bahawa mesyuarat-mesyuarat penting ini menunjukkan tekad dan kemampuan ASEAN untuk menyesuaikan diri dan berinovasi semasa menghadapi krisis di mana kerjasama dan perkongsian serantau sangat penting.

Semasa mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN Plus Three kali ke-5, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyatakan bahawa pada masa ini seluruh dunia berhasrat bagi pembelajaran pemulihan yang berkesan dan perkhidmatan yang komprehensif untuk membantu memulihkan kerugian pembelajaran dan meningkatkan kesejahteraan pelajar secara keseluruhan.

Ke arah itu, ulasnya, Kementerian Pendidikan memulai strategi jangka panjang, dengan Ministry of Education Digital Transformation Plan, dalam menjadikan pembelajaran digital sebagai norma baharu dalam sistem pendidikan di Brunei Darussalam.

Bagi menyokong strategi itu, tiga bidang utama diberikan keutamaan iaitu Teknologi Pendidikan, Teknologi Pengurusan dan Infrastruktur dan Dasar Yang Membolehkan (Enabling Policies and Infrastructure).

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menghadiri mesyuarat tersebut yang berlangsung secara maya. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa Kementerian Pendidikan sentiasa memperkenalkan inisiatif-inisiatif perkembangan profesional untuk meningkatkan kesediaan digital guru dan sekolah serta pemimpin sistem.

Kenyataan menyatakan bahawa turut hadir semasa mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Brunei Darussalam.

Terdahulu sebelum mesyuarat berkenaan, satu sesi mesyuarat bagi pegawai-pegawai kanan telah diadakan pada 29 dan 30 September secara maya di mana ia telah dihadiri oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati.

Semasa sesi berkenaan, pegawai-pegawai kanan telah dimaklumkan mengenai pelaksanaan inisiatif-inisiatif pendidikan ASEAN, pelan kerja ASEAN dan aktiviti-aktiviti dibawa sektor pendidikan ASEAN.

Mesyuarat turut mendengarkan perkongsian amalan-amalan baik serta pelan pemulihan negara-negara ahli ASEAN dalam bidang pendidikan sebagai respons terhadap impak dari COVID-19.