Tuesday, March 18, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memahami cabaran dihadapi pesakit kanser

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Cuaca hujan tidak mematahkan semangat para peserta dan keluarga mereka untuk hadir sama-sama memeriahkan dan menyebarkan mesej penting kesedaran kanser semasa Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025: Bersatu Berasaskan Keunikan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Acara yang dianjurkan oleh The Brunei Cancer Centre (TBCC), Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah JPMC.

    Acara turut dihadiri oleh menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, jemputan khas serta orang ramai dan keluarga mereka yang sama-sama memeriahkan acara.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025, Dr Haji Muhd Syafiq bin Abdullah menyatakan Hari Kanser Sedunia disambut pada setiap 4 Februari dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menangani dan mengawal kanser bagi menghentikan serta mengurangkan kematian pra-matang yang disebabkan oleh kanser di peringkat global dan negara.

    Beliau menyatakan tema, Bersatu Berasaskan Keunikan, telah ditetapkan oleh Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) sebagai tema untuk 2025 hingga 2027.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengunjungi salah satu petak pameran pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Peserta mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Tema itu, jelasnya, menekankan keperluan untuk memahami pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh setiap individu menentang kanser dengan menyerapkan penjagaan kanser yang berasaskan people-centered, melalui pendekatan yang penuh empati, adil dan memenuhi keperluan peribadi setiap pesakit kanser.

    “Ia mengingatkan kita bahawa setiap pesakit kanser mempunyai keperluan dan kisah unik mereka tersendiri kisah kesedihan, kesakitan, pemyembuhan, ketabahan dan banyak lagi,” tambahnya.

    Dr Haji Muhd Syafiq berkata TBCC sebagai pusat utama penjagaan dan pengurusan kanser menawarkan beberapa perkhidmatan daripada peringkat pengesanan awal sehingga peringkat rawatan, termasuk khidmat nasihat dan ujian bagi mereka yang berisiko tinggi dengan kaedah rawatan terkini dan teknologi moden untuk mengesan dan merawat.

    “Secara amnya, kita boleh memberi sokongan dengan memastikan kita dan keluarga melakukan pencegahan awal dengan mendapatkan ujian saringan kanser, mendapatkan maklumat lengkap tentang kanser dan menyebarkan kepada keluarga, rakan dan orang sekeliling dan yang penting sekali, mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengekalkan gaya hidup yang aktif.”

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan para peserta sama-sama mengambil bahagian dalam acara memanaskan badan.

    Majlis juga menyaksikan peserta bertanding dalam acara larian 10km di mana bagi Kategori Lelaki, juara ialah Awang Mohd Hakim Danish dan tempat kedua ialah Awang Mohd Amirul Hamdi B. Jamil.

    Sementara itu, bagi Kategori Wanita pula, Dayang Nor Diyanah binti Siew muncul sebagai juara dengan Dayang Shazana Hamirol mendapat tempat kedua.

    Acara juga diserikan dengan petak pameran yang menawarkan sumber maklumat mengenai pencegahan kanser, pemeriksaan dan kesejahteraan.

    Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk memeriahkan acara termasuk cabaran kecergasan dan pameran yang mengetengahkan perkhidmatan berkaitan kanser termasuk pemulihan kanser, pemeriksaan dan inisiatif saringan kanser kebangsaan.

    Acara itu bermatlamat untuk memberikan dorongan kepada masyarakat supaya terlibat sama dalam perbincangan terbuka mengenai kanser, memastikan bahawa kisah-kisah peribadi individu dan pengalaman mereka kekal berada di paksi penjagaan kanser.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda