Memahami falsafah pendidikan era IR4

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama persatuan Konsortium Universiti Pendidikan Asia Pasifik (CAPEU) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru (ICOTE) 2019 yang bermula hari ini.

Persidangan yang diadakan buat kali kedua, yang pertama diadakan pada 2014 sempena Majlis Konvokesyen ke-4 KUPU SB, itu memberi fokus kepada perbincangan mengenai falsafah pendidikan dan kurikulum di peringkat antarabangsa dan institusi di negara Asia Pasifik.

Hadir merasmikan persidangan dua hari tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Kira-kira 200 orang peserta dari dalam dan luar negara termasuk pegawai-pegawai dan kakitangan beberapa kementerian kerajaan, pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi tempatan serta dari luar negara termasuk Malaysia dan Indonesia menyertai persidangan berkenaan.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom dalam ucapannya menjelaskan, persidangan berkenaan merupakan salah satu aktiviti ilmiah yang diungkayahkan oleh Fakulti Pendidikan, KUPU SB.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom semasa menyampaikan ucapan.
Antara yang hadir pada persidangan tersebut.

Ia merupakan salah satu platform untuk mendukung dan memberigakan lagi kepentingan memahami falsafah pendidikan dan pelaksanaannya dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4).

Menurut beliau, pemahaman tentang falsafah, visi dan misi dalam konteks pendidikan dan perguruan menjadi penyumbang utama kepada pembangunan sesebuah negara.

Ia juga dapat melestarikan ketamadunan keilmuan sesebuah negara dengan mengambil kira kepentingan aspek mental dan fizikal serta aspek rohani dan spiritual.

Majlis perasmian persidangan disusuli dengan pembentangan kertas utama I disampaikan oleh Timbalan Rektor (Perhubungan Antarabangsa dan Alumni), Fatoni University, Thailand, Profesor Madya Dr Shukree Langputeh yang bertajuk ‘Towards Enhancing Islamic Higher Educational Values in Non-Muslim Societies: A Rabbani Campus of Fatoni University in Thailand’.

Pada sebelah petang, pembentangan kertas utama II disampaikan oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dengan tajuk ‘Falsafah Kurikulum menurut Perspektif Islam’ dan diselajurkan dengan sesi pembentangan selari II.

Selain pembentangan tiga kertas utama, persidangan turut menyaksikan 38 kertas kerja dibincangkan dalam sesi pembentangan selari.

Di antara objektif persidangan adalah untuk meninjau perkembangan falsafah pendidikan di rantau Asia Pasifik dan seterusnya untuk perkongsian tentang pelaksanaan falsafah pendidikan dalam Islam dalam sistem pendidikan negara di Asia Pasifik.

Selain itu, persidangan diharapkan dapat membantu dalam menerokai peluang kerjasama penyelidikan dalam bidang falsafah pendidikan dan kurikulum dalam kalangan universiti-universiti ahli CAPEU.