Memahami garis pandu pengimportan simen

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, hari ini menganjurkan dialog mengenai pendaftaran pengimportan simen yang diadakan dengan kerjasama DARe (Darussalam Enterprise) di Auditorium Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, Kampung Anggerek Desa, di sini.

Antara objektif dialog berkenaan adalah untuk menerangkan dasar baru bagi garis pandu pengimportan simen untuk pendaftaran syarikat sebagai pengimport simen kepada syarikat yang berminat dan berpotensi.

Hajah Norsarizah binti Haji Sarbini dari Jabatan Tenaga dan Perindustrian pada dialog berkenaan menerangkan mengenai garis pandu permohonan pendaftaran pengimportan simen di mana beliau menjelaskan mengenai syarat-syarat, yuran permohonan dan pendaftaran selain aliran proses dan perkara yang menyebabkan penarikan balik.

Beliau seterusnya menjelaskan garis pandu ini disediakan setelah dasar baru mengenai pelupusan sistem kuota import yang diumumkan pada 21 Februari baru-baru ini.

Dasar baru ini, jelasnya akan memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat kerana kos bangunan yang akan turun berbanding sebelum ini.

Hajah Norsarizah menyampaikan taklimat mengenai garis pandu permohonan pendaftaran pengimportan simen.
Hajah Norsarizah menyampaikan taklimat mengenai garis pandu permohonan pendaftaran pengimportan simen.

Selain itu, jelas beliau sistem pasaran yang dibukakan akan lebih adil bagi pengusaha, di mana rakyat dan pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan dari segi jenama dan harga.

Di samping itu, dasar baru berkenaan juga akan memberi saingan yang sihat dan meningkatkan efisien industri pembinaan di negara ini secara menyeluruh.

Beliau juga menegaskan pada sesi dialog itu mengenai penarikan balik sijil dan sijil tidak diperbaharui bagi syarikat yang didapati membawa masuk simen yang tidak menepati import deklarasi syarikat.

Turut menyampaikan taklimat pada sesi dialog tersebut ialah Awang Emran Tali dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang menyampaikan taklimat Proses Kemasukan dan Deklarasi: “Brunei Darussalam National Single Window”; Awang Norazmi bin Othman dari Jabatan Kerja Raya yang menerangkan mengenai Pemantauan Standard dan taklimat Kualiti Simen dan Peringatan Persaingan 2015 yang disampaikan oleh Farah Heidi dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi.