(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 2
Apakah ukuran yang dikatakan sebagai ikan kecil?
KADAR atau ukuran ikan yang dikatakan sebagai ikan kecil itu menurut pendapat ulama ialah:
1. Apa yang menurut adat kebiasaannya diakui atau disebut sebagai ukuran ikan kecil.
2. Sekadar dua jari besarnya. Ini adalah pendapat al-‘Allamah ‘Ali asy-Syabramallisi Rahimahullah.
Lain-Lain Persoalan Yang Berkaitan
Berikut dibawakan beberapa persoalan serta penjelasan ringkas mengenainya:
1 . Bangkai ikan dalam perut ikan lain
Jika seseorang itu mendapati bangkai ikan dalam perut ikan lain dan bangkai ikan tersebut keadaannya belum terputus-putus (hancur), maka hukum memakan bangkai ikan tersebut adalah halal.
Dengan kata lain, halal memakan kedua-dua ikan tersebut. Begitu juga bangkai ikan yang didapati dalam perut binatang lain.
Jika sebaliknya, iaitu jika bangkai ikan dalam perut itu sudah membusuk serta terputus-putus, maka hukumnya tidak halal (haram) kerana ia umpama sudah menjadi muntah dan tahi.
Manakala memakan ikan yang berubah; misalnya bau atau rasa dagingnya, hukumnya adalah makruh (tidak haram) dengan syarat tidak memudaratkan.
2. Memperlakukan sesuatu terhadap ikan yang masih hidup
Kadangkala kerana sebab-sebab tertentu, sesetengah orang memotong, memakan atau memasak ikan ketika ianya masih hidup. Maka berikut diterangkan secara ringkas akan hukum perbuatan ini:
(a). Memotong
Makruh memotong, mengerat atau membahagi ikan dalam keadaan ikan tersebut masih hidup. Kemudian memakan bahagian yang dipotong itu adalah halal, namun hukumnya adalah makruh.
(b). Menelan
Menelan ikan kecil atau besar yang masih hidup (beserta isi perutnya), samada dikunyah ataupun tidak, adalah halal namun hukumnya adalah makruh.
Begitu juga halnya menelan bangkai ikan yang kecil, hukumnya adalah harus (halal). Manakala menelan bangkai ikan besar adalah tetap haram, kerana isi perutnya adalah najis.
(c). Menggoreng atau membakar
Menggoreng ikan yang masih hidup dalam minyak yang panas menggelegak atau membakarnya hidup-hidup hukumnya adalah makruh, kerana ada unsur penyeksaan.
3. Minyak yang digunakan untuk menggoreng
Oleh kerana (kotoran dalam) isi perut ikan kecil adalah dimaafkan, maka minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan kecil tersebut tidak dikira sebagai najis.
Adapun bagi ikan yang besar hukumnya adalah sebaliknya, iaitu minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan besar akan menjadi najis apabila ianya digoreng bersama isi perutnya.
Kesimpulan
Hukum memakan ikan adalah halal; samada ia mati tanpa sebab atau mati dengan sebab yang nyata, selama mana tidak mendatangkan mudarat.
Manakala hukum bangkai ikan itu adalah suci (tidak najis).
Adapun memakan ikan yang kecil sekaligus dengan isi perutnya, tanpa membuang dan membersihkannya terlebih dahulu, adalah halal dan kotoran dalam kandungan isi perut ikan yang kecil adalah dimaafkan.
Ini kerana adanya kesukaran untuk membersihkan kotoran yang ada pada perut ikan yang kecil.
Berbeza hukumnya bagi ikan yang besar, iaitu sekira-kira dua jari lebarnya, maka hukum memakan ikan berukuran besar yang tidak dibuang atau dibersihkan isi perutnya adalah haram dan dianggap najis kerana kotoran dalam isi perutnya adalah najis.
Apabila dilihat dari sudut yang lain pula, ulama juga mengaitkan hukum haram memakan ikan besar sekaligus dengan isi perutnya kerana isi perutnya adalah najis dan tiada kesukaran untuk membuangnya.
Manakala halal pada ikan kecil, kerana isi perutnya adalah najis yang dimaafkan dan juga kerana adanya kesukaran untuk membuangnya.
Oleh yang demikian dapat difahami, jika isi perut ikan kecil itu mudah dan tiada kesukaran untuk dibuang, maka wajarlah ia dibuang kerana ini bertepatan dengan kehendak syara‘ sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 168 daripada Surah al-Baqarah iaitu halal lagi baik. Baik yang bermaksud bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan.