Memancing di Sabah dibenarkan

KOTA KINABALU, 1 DIS – Pemancing di Sabah menarik nafas lega apabila kerajaan negeri membenarkan aktiviti memancing di laut dalam semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seorang pemancing, Boniface P Ganis berkata aktiviti memancing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sangat dinantikan oleh para pengemar aktiviti berkenaan. “Sebagai seorang pemancing tegar ikan laut dalam saya menyambut baik pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan kembali aktiviti memancing selaras dengan pelaksanaan PKPB di Sabah,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Pada 10 November lepas, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan beberapa aktiviti semasa PKPB di Sabah termasuk memancing, namun perlu mengikut SOP yang ditetapkan iaitu kehadiran maksimum 10 orang dan pemilik kapal perlu mencatat nama dan membuat pemeriksaan suhu.

Seorang kapten kapal pancing yang hanya mahu dikenali sebagai Tohmas berkata sejak kerajaan negeri membenarkan aktiviti itu, banyak tempahan diterima daripada para pemancing di sekitar Kota Kinabalu. – Bernama