Memancing spesies ikan bermisai, baung

Lazimnya, ramai yang menyukai aktiviti memancing kerana ada yang mengatakan bahawa memancing adalah terapi kepada tekanan atau masa untuk bertenang dan sebagainya. Justeru, dengan memancing, kita akan memperoleh pelbagai jenis ikan sama ada ia ikan besar atau kecil tergantung kepada lokasi yang anda pergi untuk memancing.

Ruangan kali ini akan menyentuh mengenai cara menangkap ikan baung. Memancing ikan baung bukanlah sesuatu yang asing, malah ia amat diminati oleh kebanyakan kaki pancing khususnya di air tawar.

Waktu yang lazim untuk memancing ikan baung adalah pada waktu malam atau pun di kawasan badan air yang keruh. Memancing ikan baung menjadi terkenal kerana keasyikannya yang mampu membuatkan pemancing leka untuk melayan spesies ikan bermisai ini.

Jika memancing ikan baung pada waktu malam, tarikan demi tarikan daripada spesies ini akan dirasa secara berterusan dan tidak memakan waktu yang lama untuk menunggu umpan diragut oleh sang baung.

Selain waktu malam, memancing ikan baung juga boleh dilakukan pada waktu pagi terutama di kawasan sungai atau air yang keruh selepas sahaja hujan. Ini kerana spesies ikan bermisai ini menggunakan deria pengesan daripada filament barbelnya untuk mengesan umpan malah spesies ikan ini lebih aktif dalam keadaan air keruh berbanding air yang jernih.

Ikan baung ini turut terkenal kerana isi dagingnya yang enak dan tidak seperti kebanyakan ikan air tawar yang lain, ikan baung tidak mempunyai tulang yang banyak dan dagingnya boleh dimasak dengan apa cara sekalipun.

Cara mudah untuk menangkap ikan baung adalah melalui umpannya iaitu cacing tanah. Umpan yang terkenal ini memang tidak disangkal antara umpan memancing yang paling mujarab. Selain itu, cengkerik dan anak udang juga turut berkesan bagi memancing spesies ikan ini. – Agensi

Waktu yang lazim untuk memancing ikan baung adalah pada waktu malam atau pun di kawasan badan air yang keruh. – Agensi
Selain waktu malam, memancing ikan baung juga boleh dilakukan pada waktu pagi terutama di kawasan sungai atau air yang keruh selepas sahaja hujan. – Agensi