Memancing tidak semudah yang disangka

Dalam aktiviti memancing, sama seperti aktiviti lain amat memerlukan kesabaran, latihan dan komitmen jika ingin mahir. Jika sekiranya berpeluang turun memancing atau bertemu dengan seseorang yang berpengalaman, dengar dengan teliti apa yang mereka kongsikan. Mungkin serba sedikit daripada nasihat yang dikongsikan dapat menjimatkan banyak masa dan mengurangkan kesilapan kita.

Jika tiada sesiapa yang dapat dijadikan sebagai rujukan, di laman sesawang kini banyak boleh membantu. Hanya menanti saja sama ada untuk melakukannya ataupun tidak. Kita juga perlu mencuba teknik baharu yang diketahui dan meneroka tempat memancing yang baharu. Jangan mudah berputus asa dalam melakukan eksperimen meskipun sering gagal kerana pasti sesuatu pengajaran yang berguna kita perolehi.

Buat pilihan yang tepat

Memancing boleh menjadi sesuatu hobi yang sederhana, kompleks, murah atau mahal bergantung kepada bagaimana, di mana dan apa tujuan kita memancing kerana keputusan terletak pada diri kita sendiri.

Sebelum membuat pelaburan dalam alatan memancing, pertimbangkan apakah ikan yang sering ditangkap di kawasan kita dan kaedah yang gunakan. Seterusnya kita membuat pilihan adakah kita memancing secara dari daratan, dari bot, di pantai atau atas batu. Jangan ikutkan nafsu dalam membeli kelengkapan memancing yang hanya semata-mata untuk kelihatan hebat. Fikir dahulu sama ada kita mempunyai pengetahuan dan peluang untuk menggunakannya.

Memancing boleh menjadi sesuatu hobi yang sederhana, kompleks, murah atau mahal bergantung kepada bagaimana, di mana dan apa tujuan kita memancing. – Agensi

Konsep nasib baik dalam dunia memancing

Nasib baik merujuk kepada tiga ciri iaitu kesabaran, pengetahuan dan rezeki. Apabila kita mempunyai kesemua tiga ciri ini, Insya-Allah kita akan menjadi pemancing bertuah yang selalu berjaya menangkap ikan. Aktiviti memancing tidaklah semudah apa yang disangka kerana tidak semestinya kita sentiasa bernasib baik umpan yang dilabuh akan disambar ikan. Justeru jangan mudah berputus asa, mungkin ada rezeki pada saat-saat akhir.

Ramai orang mula berminat untuk memancing setelah terpengaruh oleh rancangan televisyen atau artikel majalah yang memaparkan pemancing berpengalaman dapat memancing ikan besar dengan mudah. Namun kita tidak menyedari mereka juga sebelum ini terpaksa mengambil masa berpuluh tahun untuk memupuk kemahiran dan ilmu tentang memancing.

Kita perlu menambah ilmu memancing dengan mencatat nota aktiviti-aktiviti memancing yang kita pernah lakukan seperti mencatatkan data seperti cuaca, pasang-surut air, umpan yang digunakan, tarikh, fasa bulan dan sebagainya. Perkara-perkara seperti ini mungkin membantu kita berjaya membuka kunci rahsia yang akan memberikan kita kelebihan.

Setelah banyak usaha yang kita usahakan, terakhir sekali yang menentukan kejayaan kita adalah rezeki. Tidak dinafikan rezeki kita sudah ditentukan oleh Allah SWT, namun kita digalakkan untuk berusaha dan tidak hanya berpeluk tubuh sahaja menanti kehadiran rezeki. Sentiasa berfikiran positif dan renungkan kembali sebarang kesilapan dan berusaha untuk memperbaikinya lagi. – Agensi