Oleh Amri HTZ
PERSEKITARAN rumah yang dikelilingi dengan hutan menghijau setentunya memberikan pemandangan yang sangat menarik dan menenangkan. Selain mampu memberikan ketenangan, pokok juga berfungsi menghasilkan oksigen untuk seluruh alam.
Namun jika pertumbuhannya tidak terkawal terutamanya kawasan berhampiran rumah, ia setentunya mampu mendatangkan bahaya terutama jika berlakunya pokok tumbang.
Bagi mengelakkannya, pokok-pokok tumbuh meliar perlu dipotong. Tanpa menjadikannya sebagai suatu pembaziran, manfaatkan kayu daripada pokok yang telah ditebang menjadi sesuatu yang berguna dalam kehidupan seharian anda.
Barangan yang diperlukan
Bagi mereka kerusi daripada kayu bulat (log) semula jadi ini, beberapa barangan yang diperlukan untuk menjayakan rekaan iaitu gergaji rantai, kayu bulat dengan ukuran lebih kurang 30 inci panjang dan berdiameter 15 inci, pembaris, pita pengukur, pen penanda, mesin gerudi, paku atau skru, tukul, wood oil, mesin ketam kayu, pengepit kayu, berus dawai dan berus cat.

Memanfaatkan kayu terbuang
Sebelum memulakan projek tersebut, pilih pokok yang bersesuaian untuk dijadikan kerusi luar rumah tersebut. Jika anda memilih untuk menggunakan pokok yang baharu saja ditebang, berikan masa untuk potongan kayu tersebut mengering dengan cara mendirikan potongan-potongan kayu di kawasan yang kering. Biarkan potongan kayu tersebut mengering lebih kurang dua hingga ke tiga minggu kerana kayu yang memiliki kelembapan di dalamnya akan berubah saiz apabila ia mengering.
Mungkin ukuran atau saiz kayu yang masih mempunyai kelembapan tidak nampak berubah dari mata kasar ketika ia mengering. Tetapi keadaan tersebut paling ketara apabila kerusi yang telah siap direka dan dicantumkan menjadi longgar pada setiap sudut cantuman. Hal ini setentunya akan menggagalkan rekaan anda dan sukar untuk melihat hasil titik peluh sendiri musnah begitu sahaja.
Jika anda rasakan projek yang dilakukan ini diperlukan dalam masa yang singkat, pilih kayu yang telah kering terutamanya kayu yang telah lama tumbang dan terbiar. Jika anda menggunakan kayu yang telah tumbang ini, risiko ia mempunyai kelembapan yang tinggi adalah kurang jika dibandingkan dengan pokok yang baharu sahaja ditebang.
Langkah memotong pokok menggunakan gergaji rantai perlu dilakukan oleh seorang yang profesional. Minta bantuan seseorang untuk melakukannya atau gunakan kayu-kayu terbuang yang boleh didapatkan. Setelah memotong kayu dengan ukuran yang diperlukan, belah dua kayu tersebut menggunakan gergaji rantai.
Gunakan pen penanda jika anda tidak berasa yakin mampu membelah dengan tepat kayu tersebut menggunakan gergaji rantai sebagai panduan. Setelah membelahnya, ratakan permukaan dengan mesin ketam kayu.
Untuk bahagian tempat duduk, pada bahagian belakang kayu (kayu yang masih mempunyai kulit), akan dipotong bahagian kedua-dua belah sisi dengan kedalaman lebih kurang 3 inci. Ruangan ini akan menempatkan kayu untuk kaki kerusi. Gunakan mesin gergaji rantai pada permulaan langkah dan ratakan permukaan kayu menggunakan mesin ketam kayu.
Untuk bahagian kaki kerusi, kayu berukuran 12 inci panjang akan digunakan pada langkah ini. Dengan membelah kayu tersebut juga menggunakan gergaji rantai, tebuk empat lubang pada bahagian cantuman pada bahagian tempat duduk dan kaki kerusi. Gunakan mata gerudi yang lebih kecil daripada ukuran skru yang digunakan. Ini adalah bagi memastikan cantuman kukuh.
Sebelum memasangkan skru pada lubang yang telah direka, sapukan permukaan cantuman dengan gam kayu dan kepit menggunakan pengepit kayu. Biarkan cantuman mengering dalam 24 jam sebelum memberikan tekanan ke atasnya.
Sebelum memulakan proses melindungi permukaan kayu menggunakan wood oil, bersihkan permukaan kulit kayu menggunakan berus dawai. Ini adalah bagi memastikan permukaan kayu bersih daripada segala kekotoran seperti tanah, kulat, alga dan sebagainya. Setelah dibersihkan, sapukan wood oil secara menyeluruh dan biarkan ia mengering lebih kurang sejam sebelum memberikan lapisan kedua.
Lebihan wood oil pada permukaan kayu daripada lapisan kedua perlu dibersihkan menggunakan kain bersih. Ini kerana permukaan kayu tidak lagi dapat menyerapnya dan lebihan tersebut juga menandakan bahawa permukaan kayu tersebut mengandungi pelindung yang mencukupi daripada serangan serangga perosak. Dengan lebihan wood oil yang telah dibersihkan, kini kerusi daripada kayu buangan tersebut memerlukan seseorang untuk mencubanya sambil menikmati kehijauan hutan persekitaran rumah.





























