Memanfaatkan kemahiran diri melalui kelas seni jahitan

Oleh Nurdiyanah R.

 

MENINGGALKAN kerjaya di salah sebuah syarikat swasta bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk ditentukan bagi insan ini, namun berkat keyakinan dan kegigihan hati yang dimilikinya, beliau terus bangkit dan berjuang menerokai bidang jahitan yang memerlukan daya kreativiti dan ketelitian dalam diri untuk menghasilkan karya seni rekaan busana yang menarik mata para pembelinya.

Bagi Dayang Norfazarina Suryana binti Noorhalim atau lebih senang dikenali dengan nama panggilan Dayang Rina Suryna, minat dalam seni jahitan hadir melalui inspirasi daripada ibunya, seorang yang banyak memberi tunjuk ajar dan sekali gus pencetus sumber kekuatan sejak beliau kecil lagi.

“Dengan adanya kemahiran seni jahitan yang saya miliki ini, saya rasa inilah masanya untuk saya berkongsi ilmu dan sekali gus membantu masyarakat di negara ini terutama golongan belia dalam sama-sama meningkatkan sumber pendapatan diri dan keluarga melalui kemahiran seni jahitan yang mereka terokai,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh pemilik usahawan kelas jahitan tempatan yang dikenali sebagai Suryna Fashion and Tailoring, Dayang Rina Suryna yang juga selaku guru jahit di syarikat beliau semasa ditemui wartawan Media Permata di kediamannya di Kampung Maraburong Kupang, Daerah Tutong, baru-baru ini.

Bermula secara kecil-kecilan

Sejak tahun 2017, Dayang Rina Suryna telah menjalankan kelas jahitan secara kecil-kecilan disebabkan permintaan saudara-mara dan rakan-rakan.

Namun setelah menerima sambutan yang semakin menggalakkan dari orang ramai, kini Dayang Rina Suryna bersama ibu beliau selaku guru telah mengadakan kelas jahitan dengan bantuan tujuh orang tenaga pengajar yang terdiri dari ahli keluarga dan rakan-rakan yang mana mereka juga mempunyai kemahiran yang sama.

Dayang Rina Suryna semasa ditemui wartawan Media Permata di kediamannya di Kampung Maraburong Kupang, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Ibu bapa merupakan inspirasi dan pendorong bagi Dayang Rina Suryna untuk mengecapi kejayaan dan membangunkan bidang usahawan melalui kemahiran seni jahitan.
Antara pembantu tenaga pengajar yang turut terlibat mengusahakan kelas jahitan berkenaan.
Bengkel asas jahitan juga disediakan oleh Dayang Rina Suryna dalam kelas yang dikendalikannya.

“Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT, meskipun bermula dengan hanya lima orang pelajar yang mengikuti kelas jahitan pada bulan pertama ia ditubuhkan, namun kini jumlah pendaftaran semakin meningkat iaitu lebih kurang 40 orang yang mendaftar setiap bulan. Secara keseluruhannya, kelas jahitan ini telah memiliki lebih 100 orang pelajar.

“Apa yang lebih menggembirakan saya bahawa kebanyakan mereka telah berjaya menghasilkan karya seni rekaan jahitan mereka yang tersendiri dan mempunyai pendapatan serta perniagaan mereka masing-masing,” jelas beliau dengan nada penuh kesyukuran.

Ujarnya lagi, antara pelajar yang mengikuti kelas jahitan tersebut meliputi semua lapisan masyarakat, bukan sahaja terdiri dari para suri rumahtangga, pencari pekerjaan dan sebahagian pelajar peringkat menengah serta para mahasiswi dan alumni universiti, bahkan juga mereka yang sudah berkerjaya seperti guru, doktor, askar, usahawan, pemilik butik dan sebagainya.

Konsep ‘1 to 1’ atau ‘1 to 2’

Dayang Rina Suryna yang juga memiliki sebuah butik yang menjual pakaian dan busana rekaan sendiri turut menyatakan bahawa kelas jahitan beliau berkonsepkan cara pembelajaran ‘1 to 1’ atau ‘1 to 2’ bermula dari asas seni jahitan sehinggalah ke tahap yang lebih kompleks dengan mengutamakan hari dan masa yang fleksibel bagi orang ramai yang mengikuti sesi pembelajaran tersebut.

Perkhidmatan yang ditawarkan dalam kelas jahitan itu merangkumi jahitan asas pakaian perempuan dan juga lelaki. Bagi kelas jahitan asas pakaian perempuan meliputi kelas asas yang terdiri dari cara mengukur dengan tepat dan membuat pola, pengendalian mesin jahit, teknik jahitan baju dan kain sehingga terhasilnya baju kurung moden serta cara menjahit zip dan dart.

Manakala bagi jahitan asas pakaian lelaki pula merangkumi cara menjahit kurta dan cara Melayu.

Salah seorang peserta yang mengikuti kelas jahitan milik Dayang Rina Suryna.
Bukan hanya kaum perempuan, bahkan kaum lelaki juga merupakan antara individu yang mengikuti kelas seni jahitan itu.

Dayang Rina Suryna ketika memberi tunjuk ajar kepada sebahagian anak didik beliau mengenai seni jahitan seperti cara mengukur, membuat pola, cara pengendalian mesin jahit, menjahit baju sehingga berjaya menghasilkan sepasang busana yang sempurna.

Selain itu, kelas jahitan beliau juga menawarkan bengkel asas jahitan iaitu dari segi cara mengukur dan melakar pola, di samping menyediakan kelas secara dalam talian atau ‘online’ khusus bagi sesiapa yang mempunyai kesukaran untuk hadir ke kelas disebabkan oleh komitmen tertentu.

Jatuh bangun tetap diperjuangkan

Meskipun penat dirasai, namun Dayang Rina Suryna tetap meniti langkah demi langkah dalam menerokai dunia keusahawanan dalam seni jahitan tanpa memandangnya sebagai sesuatu yang sia-sia seperti membuang garam ke laut.

“Sememangnya jatuh bangun yang saya alami dalam berbagai-bagai jenis perniagaan yang saya ceburi pada sebelum ini telah banyak mengajar erti kesabaran. Selama 10 tahun saya berjuang mencari jalan dan peluang untuk meningkatkan prestasi diri seperti melakukan jualan di gerai-gerai dengan menjual barangan pakaian meskipun tiada potensi dalam meraih keuntungan pada ketika itu. Namun hakikatnya, ia tidak melemahkan semangat saya untuk terus berusaha mencari dan menggapai impian dan cita-cita sebagai seorang usahawan.

“Alhamdulillah, kini pendapatan yang saya perolehi dalam menjalani perniagaan kelas jahitan ini semakin meningkat dan di luar jangkaan.

“Apa yang pasti pengalaman pahit dan manis yang saya alami itu adalah kekuatan dan pendorong saya serta para kakitangan syarikat untuk sentiasa berdikari dan berusaha keras di samping berjuang dalam meningkatkan tahap perekonomian peribadi dan juga masyarakat di luar sana,” jelas beliau lagi dengan nada terharu.

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa untuk menjadi seorang yang terbaik dalam dunia bidang jahitan, pembelajaran mestilah sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa, di samping sentiasa menerapkan sesi praktikal seni jahitan. Ini kerana ilmu jahitan itu amat luas untuk dipelajari.

Antara koleksi yang dihasilkan oleh Dayang Rina Suryna.
Suasana ruang bagi kelas jahitan yang dikenali sebagai Suryna Fashion & Tailoring milik Dayang Rina Suryna.
Antara keperluan perkakas yang digunakan dalam seni jahitan seperti pengukur, pembaris, jarum, gunting dan sebagainya.

Gulungan benang berwarna-warni disusun rapi pada rak besi bagi keperluan seni jahitan.

Bukan kemahiran ‘kampungan’

Dengan adanya kelas jahitan tersebut, Dayang Rina Suryna berharap agar golongan belia di negara ini akan sentiasa menimba kemahiran untuk memajukan diri masing-masing antaranya dengan mempelajari ilmu menjahit ini kerana ia sememangnya mempunyai banyak kelebihan dan keuntungan.

“Sesetengah pihak mungkin berpendapat seni jahitan ini adalah kemahiran ‘kampungan’, namun hakikatnya bidang ini mampu memberikan keuntungan tertentu antaranya dari segi pengeluaran jenama busana tersendiri yang sememangnya bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi diri dan keluarga, malah ia juga dapat mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa,” tambah beliau yang juga bercita-cita untuk membuka cawangan kelas jahitan di luar daerah di masa akan datang dengan penuh harapan.

Semasa mengakhiri temu bual bersama wartawan Media Permata, Dayang Rina Suryna turut menyarankan kepada masyarakat di negara ini khususnya para belia agar sentiasa berusaha, hindarilah sifat malas dan lalai serta jangan mudah berputus asa dalam menempuhi kehidupan yang penuh cabaran ini, meskipun ada yang memandang rendah kepada diri kita.

Keyakinan dan tingginya komitmen yang dimiliki oleh insan yang berjiwa kental ini sememangnya mampu membuka minda kita semua untuk sentiasa mengorak langkah memajukan perekonomian diri dan keluarga dari semasa ke semasa seperti menceburi dunia keusahawanan.

Ini jelas terbukti melalui sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Tirmidzi iaitu ‘sembilan dari sepuluh pintu rezeki terdapat dalam perniagaan’.