Saturday, December 7, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memanfaatkan kemahiran terpendam menjadi sumber pendapatan

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    INDUSTRI pertukangan kayu terutama dalam bidang pembuatan perabot berpotensi untuk menjana keuntungan berlipat kali ganda kepada usahawan yang benar-benar berusaha menjalankan perniagaan itu.

    Bagaimanapun, penglibatan golongan belia untuk menjadikannya sebagai kerjaya tidak begitu menggalakkan kerana kebanyakan daripada mereka hanya menjadikan aktiviti itu sebagai satu hobi saja.

    Melihat kepada potensi yang terdapat dalam industri ini, Awang Ajis bin Donglah, 48, yang berasal dari Kampung Manggis II, menggunakan kemahiran dan bakat yang ada untuk menjadikan bidang ini sebagai satu mata pencarian, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya beliau.

    Kemahiran dalam pertukangan kayu ini diwarisi daripada ayah beliau dan minat dalam seni pembuatan kayu juga secara tidak langsung menjadi asas kejayaan beliau untuk menghasilkan perabot yang berkualiti sekali gus mendapat kepercayaan daripada pelanggannya.

    Seni pertukangan tangan pada bahan kayu ini bukan sahaja boleh mengaut keuntungan yang baik, malah ia juga menjadi satu warisan dan khazanah berharga bagi sesebuah negara ditambah lagi dengan ukiran dan rekaan yang memaparkan imej negara.

    Antara produk yang telah dihasilkan oleh Awang Ajis.

    Awang Ajis tidak lokek berkongsi ilmu dengan belia-belia yang berminat dalam bidang pembuatan perabot.

    Kemahiran yang ada dalam diri beliau digunakan dengan sebaik mungkin bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

    Menghasilkan perabot yang berkualiti dan kemas bukan sahaja bergantung pada bakat yang sedia ada, tetapi ia juga memerlukan peralatan dan mesin untuk menyempurnakan sekali gus memudahkan lagi kerja-kerja pembuatan itu berjalan dengan lancar dan cepat.

    Penerima asnaf fakir miskin

    Beliau bersyukur dan berterima kasih atas bantuan yang dikurniakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang berupa peralatan mesin bagi kegunaan dalam penyempurnaan kerja-kerja pertukangan kayu dan bahan-bahan mentah seperti kayu dan sebagainya.

    Dengan sumbangan yang terima ini, kerja-kerja pembuatan perabot untuk pelanggan akan berjalan lancar dan mempercepatkan lagi kerja-kerja penghasilan.

    Bantuan dan sumbangan yang diberikan itu secara tidak langsung telah meningkatkan semangat dalam dirinya untuk terus berusaha dengan penuh gigih dalam seni pertukangan kayu, sekali gus berupaya untuk menjana sumber pendapatan dalam menjalani kehidupan seharian.

    Penglibatan pertama dalam industri ini

    “Saya telah mula melibatkan diri dalam industri ini sejak tahun 2013 bermula dengan menghasilkan produk kecil seperti keris dan tongkat,” jelas Awang Ajis.

    “Pembuatan keris dan tongkat biasanya akan mengambil masa yang lama kerana ia memerlukan tahap penelitian yang tinggi terutama dalam menyempurnakan kerja-kerja ukiran pada besi keris dan pemegangnya,” tambah Awang Ajis.

    Ukiran tersebut dihasilkan adalah untuk menambahkan nilai kecantikan sekaligus menampakan warisan budaya yang masih dikekalkan dalam industri pertukangan tangan.

    Anak sulung Awang Ajis juga turut menonjolkan minat yang sama dalam bidang seni pertukangan kayu ini.

    Di samping menerima tempahan keris dan tongkat, beliau juga turut menerima tempahan perabot dalam pelbagai saiz merangkumi perabot kecil hinggalah ke perabot besar seperti almari dapur dan sebagainya.

    Oleh kerana permintaan semakin meningkat, kini beliau lebih menumpukan perhatian dalam penghasilan perabot rumah.

    Kepuasan hati pelanggan menjadi pembakar semangat

    Berikutan dari sambutan yang menggalakan dalam pembuatan perabot telah mendorong Awang Ajis untuk memberi tumpuan terhadap tempahan produk itu sahaja pada masa ini.

    Menurutnya, peningkatan terhadap pelbagai jenis perabot seperti almari dapur, kerusi dan meja secara tidak langsung turut mendorongnya untuk menghasilkan perabot yang berkualiti dan unik berdasarkan bahan kayu pilihan pelanggan.

    Bantuan tenaga dari anak dan belia-belia yang tidak bekerja secara tidak langsung turut meringkankan lagi tugasan beliau dalam menyempurnakan kerja-kerja pembuatan perabot yang boleh dianggap sebagai satu tugas berat, kompleks dan agak rumit.

    “Kebanyakan pelanggan yang pertama kali menempah khidmat pembuatan perabot akan berasa berpuas hati dengan hasil dan kualiti yang diberikan sehingga ada di antaranya yang menjadi pelanggan tetap,” jelas Awang Ajis.

    Menyedari sambutan dan sokongan yang diterima semakin meningkat secara tidak langsung turut mendorong beliau untuk mempelbagaikan lagi corak dan rekaan perabot seiring dengan peredaran masa.

    Bahan kayu berkualiti tetap menjadi keutamaan dalam setiap perabot yang dihasilkan, di samping proses pengemaskinian turut dilaksanakan sebelum sesebuah perabot itu diserahkan kepada pemiliknya.

    Penghasilan keris dan tongkat merupakan penglibatan awal Awang Ajis dalam industri seni pertukangan kayu.

    Selain itu, setiap perabot yang ditempah dan dihasilkanitu wajar untuk menepati sebagaimana cita rasa yang diinginkan oleh pelanggan.

    Bagi memastikan penghasilan perabot itu dihasilkan secara sempurna, Awang Ajis sendiri turut berkunjung ke kediaman pelanggan untuk berbincang dan mengukur ruang bagi meletakkan perabot tersebut.

    Membantu golongan belia

    Walaupun pertukangan kayu ini menjadi sumber rezeki Awang Ajis dan keluarga, beliau yang juga merupakan ahli Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang tetap tidak lokek untuk berkongsi ilmu bersama belia-belia masjid yang tidak bekerja dan berminat dalam bidang pembuatan perabot ini.

    Menurutnya, pendedahan dan penglibatan belia masijd berkenaan yang berminat dalam bidang ini merangkumi proses penyempurnaan projek tempahan perabot dalam jumlah yang banyak, sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang mereka dengan kegiatan yang berfaedah.

    “Ini adalah sebagai salah satu sumbangan saya kepada masayarkat, di samping menjana pendapatan dalam masa yang sama saya juga dapat membantu belia untuk mencari pendapatan mereka sendiri dengan menggunakan kemahiran yang mereka miliki,” jelas Awang Ajis lagi.

    Selain melibatkan belia-belia semasa mendapat tempahan perabot dalam jumlah yang banyak, beliau juga memberi peluang kepada belia-belia berkenaan untuk menggunakan peralatan dan mesin yang terdapat di kediaman beliau.

    Menurutnya lagi, penyertaan para belia termasuk anak beliau sendiri secara tidak langsung turut mencambah minat mereka untuk menceburkan diri dalam seni pertukangan kayu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda