Oleh Normazlina M.D
TUTONG – Untuk menambahkan lagi kreativiti dan ilmu pengetahuan warga emas, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah melancarkan Bengkel Kraf Tangan bersempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 tahun di pusat tersebut, baru-baru ini.
Pelancaran bengkel berkenaan telah disempurnakan oleh isteri ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit iaitu Hajah Norsiah binti Haji Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Haji Ramli ai dan Ketua Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Metamit bin Haji Matzin.
Pengerusi majlis, Haji Mohd Yussof bin Haji Siput dalam ucapannya menjelaskan bahawa majlis itu bertujuan untuk memudahkan ahli-ahli PKWE menjalankan aktiviti kraf tangan dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan mereka.


Selain itu, ia juga dapat dijadikan sebagai sumber tunjuk ajar kepada generasi yang akan datang.
Majlis diikuti dengan penyampaian sijil kepada tenaga-tenaga pengajar yang memiliki pengalaman dalam kraf tangan di pusat berkenaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Tetamu kehormat seterusnya berkesempatan menyaksikan ahli-ahli warga emas melukis di gelas kaca yang mana merupakan salah satu kegiatan ahli-ahli di pusat berkenaan.
Dengan wujudnya bengkel ini, PKWE Daerah Tutong telah menjadi sebuah tempat yang sesuai dan berpotensi dalam memberikan kerjasama yang positif kepada ahli-ahlinya.