Memartabat kedudukan wanita

Ulasan siri TV oleh Zulkamal Haji Kamis

Bagi mereka yang meminati drama berkonsepkan sejarah atau zaman dahulu pastinya drama terbaharu dari Korea Selatan ini bakal mengembirakan anda.

Drama terbaharu yang bertajuk Rookie Historian Goo Hae-Ryung bakal disiarkan pada 17 Julai nanti di saluran MBC.

Drama ini akan bersiaran setiap hari Rabu dan juga Khamis. Rookie Historian Goo Hae-Ryung bakal menggantikan drama sebelum ini iaitu One Spring Night.

Bertemakan mengenai sejarah dan percintaan romantik, drama ini menampilkan pelakon-pelakon yang terkenal di Korea Selatan seperti Shin Se Kyung yang memegang watak utama, Goo Hae Ryung, Cha Eun Woo dan Park Ki Woong.

Selain bertemakan sejarah dan percintaan, drama ini turut membangkitkan ‘stereotaip’ terhadap gender, di mana dalam drama ini, mereka cuba memartabatkan kedudukan wanita dalam masyarakat khususnya dalam kerjaya.

Plot ringkas

Rookie Historian Goo Hae Ryung mengisahkan mengenai peristiwa yang berlaku di awal abad ke-19. Goo Hae Ryung merupakan seorang yang pakar dalam sejarah malah dikenali sebagai sejarawan wanita.

Pada zaman tersebut, wanita sering dipandang rendah berikutan fizikal mereka yang lemah. Namun Goo Hae Ryung terus cekal menjalankan tugasnya sebagai ahli sejarah negara itu.

Dalam masa yang sama, Goo Hae Ryung menjalinkan hubungan bersama Lee Rim, putera mahkota di mana kehidupannya sentiasa sunyi dan sepi dan tidak pernah merasa apa itu erti percintaan sebelum ini. Kini, kehidupan putera mahkota itu semakin berseri setelah bertemu dengan Goo Hae Ryung dan apa yang memeranjatkan, putera mahkota itu juga berbakat dalam bidang penulisan kisah-kisah romantik.

Justeru, apakah hubungan mereka akan berterusan, apakah kesudahan yang berlaku terhadap Goo Hae Ryung dalam menjalankan tugasnya selaku ahli sejarah dan teman wanita putera mahkota, ikuti kisah selanjutnya dalam drama Rookie Historian Goo Hae Ryung di saluran MBC.

Selain bertemakan sejarah dan percintaan, drama ini turut membangkitkan ‘stereotaip’ terhadap gender, di mana dalam drama ini, mereka cuba memartabatkan kedudukan wanita dalam masyarakat khususnya dalam kerjaya.