Memartabatkan Bahasa Melayu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Tamu Bahasa merupakan salah satu program pemartabatan bahasa Melayu di bawah payung Bulan Bahasa yang dijalankan sepanjang tahun 2021 yang mana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah merangka pelbagai kegiatan untuk menyemarakkan Bulan Bahasa ini.

Salah satu kegiatan dalam Program Tamu Bahasa bagi siri kedua yang dilaksanakan baru-baru ini ialah Forum Bahasa yang diadakan untuk menda-patkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak bagi menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, termasuk tulisan Jawi.

Tajuk yang dibentangkan dalam forum itu ialah Bahasa Melayu dalam Wacana COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku panel forum ialah  Pengarah Pusat Bahasa dan Penolong Profesor Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Yabit bin Alas dan Pensyarah Bahasa Melayu dan Linguistik, Program Pengajian Melayu, FASS, UBD, Dr Siti Badriyah binti Haji Mohamad Yusof.

Manakala moderator forum pula ialah Pegawai Bahasa, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP, Dayang Masni binti Moktal.

Dr Yabit bersama panel forum lain semasa Forum Bahasa yang diadakan baru-baru ini.

Forum bahasa ini disasarkan kepada penjawat awam, swasta, NGO, mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, aktivis bahasa dan sastera tanah air serta pelajar dalam dan luar negara.

Antara intipati forum bahasa ini menyentuh mengenai pandemik COVID-19 menjadi penggalak kepada pemartabatan dan pembudayaan bahasa Melayu, terutama dalam aspek terminologi dan pengayaan perbendaharaan bahasa Melayu yang digunakan secara meluas di dalam dan luar negara.

Forum berkenaan juga menyentuh mengenai pewahanaan bahasa Melayu perlu didampingi elemen kreatif dalam konteks keBruneian yang dapat merentasi lapisan masyarakat Brunei dan juga masyarakat sejagat, terutama dalam penggunaan media sosial dan penggunaan bahasa yang betul dan kreatif akan menarik minat generasi muda untuk lebih mengutamakan bahasa Melayu dan mencapai jangkauan masyarakat tempatan serta antarabangsa. 

Selain itu, forum berkenaan juga membincangkan isu-isu semasa yang bukan hanya tertumpu kepada pemantapan penggunaan bahasa Melayu, istilah-istilah baharu dan tulisan Jawi, tetapi turut mempelopori perbincangan dalam pelbagai disiplin ilmu semasa, iaitu sains, teknologi, ideologi, kebudayaan dan ranah ilmu lain, dengan tujuan mendukung usaha pengembangan dan pemartabatan bahasa Melayu dan menimbulkan rasa kecintaan dan semangat patrotisme terhadap bahasa Melayu dengan objektif menyebar luaskannya secara besar-besaran menggunakan platform digital.