Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Memartabatkan warisan kuih tradisi nyonya

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Dayang Noraisah

    Jauh di sudut hati, tersimpan kenangan sewaktu kecil ketika sering meluangkan masa bersama ibu tersayang menghasilkan kuih-muih tradisi warisan nyonya semasa meraikan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

    “Sebut sahaja kuih-muih tradisi nyonya pastinya, ibulah inspirasi saya sewaktu kecil untuk mengenal asas-asas keindahan bidang kulinari tradisi ini. Namun takdir Ilahi juga yang menemukan saya berjodoh dengan seorang suami berasal dari Singapura dan juga sebagai seorang cef.

    “Kedua-dua mereka mengetahui jenis kulinari nyonya, ibu lebih kepada hidangan nyonya dari Malaysia dan suami pula warisan nyonya dari tempat kelahirannya. Dari segi cara memang memiliki persamaan tetapi terdapat sedikit kelainan dari segi resepi mereka. Namun masing-masing diwarnai dengan keistimewaan yang tersendiri.

    “Sejujurnya, minat secara ‘suka-suka’ sahaja tetapi setelah mendirikan rumah tangga, rasa kecintaan untuk menerokai dunia kulinari termasuklah kuih-muih tradisi nyonya ini semakin berbunga-bunga sekali gus memberanikan diri membuka jualan secara kecil-kecilan sehingga ke detik ini, Alhamdulillah!” itulah antara perkongsian tulus salah seorang suri rumah tangga tanah air kita yang mengusahakan jualan kuih-muih tradisi nyonya dalam talian, Dayang Noraisah binti Abdullah Tee, menerusi platform media sosial.

    Kuih Ang Ku cetus semangat

    Berkongsi lanjut dalam mengimbas detik mula menerokai jualan kuih-muih tradisi nyonya, Dayang Noraisah menyatakan pernah suatu ketika kuih Ang Ku popular dan menjadi kesukaan ramai sehingga beliau mula mengetengahkan kuih jenis ini sebagai salah satu kuih pertama dalam jualannya kepada para pelanggan yang menempah.

    Dayang Noraisah bersama ibu tersayang yang banyak memberi inspirasi dan kekuatan kepada dirinya dalam memperkasakan kuih-muih tradisi nyonya di samping suami tercinta yang sentiasa menjadi tulang belakangnya selama ini.

    Dayang Noraisah juga menghasilkan pelbagai jenis mochi seperti kacang dan pandan.
    Gambar menunjukkan acuan kuih Ang Ku yang popular dan menjadi kesukaan ramai sehingga Dayang Noraisah mengetengahkannya sebagai salah satu kuih pertama dalam jualannya.
    Kuih Pulu Tai Tai yang enak dimakan bersama inti kaya.

    Kuih Ang Ku berbentuk bulat, kecil serta bujur seakan-akan berbentuk seperti kulit kura-kura di sebelah luarannya. Kuih ini merupakan sejenis kuih tradisional kaum Cina yang diwarisi secara turun-temurun oleh kaum Baba Nyonya. Kuih ini agak melekit dan manis kerana ia diperbuat daripada tepung pulut berinti kacang merah, kacang hijau, kelapa dan lain-lain berdasarkan cita rasa mereka.

    Kuih ini berwarna merah dan memiliki tekstur yang agak kenyal namun boleh dipelbagaikan dengan warna-warna pilihan yang lain mengikut cita rasa seseorang. Kebiasaannya, ia diletakkan di atas sehelai daun pisang.

    Selain itu, Dayang Noraisah juga turut mengetengahkan beberapa jenis kuih tradisi nyonya yang dikenali dengan nama Chai Kue, Pulut Tai Tai dan Mochi.

    Kongsi beliau secara ringkas, Chai Kue diperbuat dari adunan tepung beras dan tepung ubi dengan berintikan sengkuang, lobak dan udang kering. Ia dimasak secara kukus dan ditabur dengan bawang goreng pada permukaannya. Begitu juga Pulut Tai Tai yang enak dimakan bersama inti kaya. Selain itu begitu juga menghasilkan mochi dengan pelbagai jenis seperti kacang dan pandan.

    Kasih sayang takkan pudar walau berbeza agama

    Meski pun Dayang Noraisah sudah memeluk agama Islam lebih kurang 30 tahun lalu, namun beliau mengungkapkan bahawa mempertahankan khazanah budaya warisan nenek moyang terutamanya dalam pembuatan kuih-muih tradisi nyonya ini takkan pernah pudar dalam jiwanya.

    “Kasih sayang dan kecintaan terhadap nilai-nilai budaya sentiasa bersemadi dalam diri, inilah warisan yang perlu diperjuangkan agar tidak pupus begitu sahaja,” ujarnya dengan penuh ketulusan

    Mengalirnya jiwa keusahawanan

    Semangat keusahawanan dalam diri usahawan wanita ini sememangnya telah mengalir sebati dalam jiwa dan sejak zaman remaja lagi di mana kedua ibu bapanya merupakan insan-insan tercinta yang turut aktif menjalankan perusahaan tanaman bunga-bungaan dan sayur-sayuran pada suatu ketika dahulu.

    “Merekalah pencetus semangat juang saya sehingga kini. Bermula dari mereka saya mengenal erti hidup berdikari dan tidak berputus asa dalam mencari rezeki yang halal,” ucapnya dengan senyuman manis ketika mengimbas kenangan terindah bersama insan-insan tersayang.

    Keikhlasan niat menjadi keutamaan

    Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun Dayang Noraisah yakin dan percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk dengan sebaik-baiknya.

    “Niat yang ikhlas dalam menyiapkan setiap tempahan para pelanggan itu adalah perkara yang terpenting yang sentiasa saya semai dalam hati dan jiwa dalam meniti dunia perniagaan ini. Semuanya demi mengharapkan keberkatan rezeki dari Allah SWT,” ujar beliau dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...